Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/gabem-generasi-muda-melayu-bumiputera-perlu-berusaha-tingkatkan-ekonomi-kaum-mereka-1.51436
Published: on 27 May 2012
KUANTAN - Generasi muda Melayu dan Bumiputera digesa memilih bidang
keusahawanan dan perniagaan dalam usaha meningkatkan pendapatan ekonomi
kaum mereka supaya setara dengan kedudukan ekonomi kaum Cina.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Abdul Rahim
Tamby Chik berkata anak muda Melayu dan Bumiputera perlu sedar bahawa
kaum mereka jauh ketinggalan berbanding kaum Cina dalam bidang ekonomi
di mana penyertaan kaum Melayu hanyalah 23 peratus pada masa kini.
"Kita mahu melihat generasi muda memilih bidang perniagaan atau
keusahawanan sebagai kerjaya mereka selepas menamatkan pelajaran di
universiti.
"Sampai bila kita nak jadi pekerja kerajaan atau swasta, tak kan sampai
mati kerana sebuah bangsa tidak akan maju dan kuat ekonominya jika
bilangan usahawan dalam masyarakat itu tidak bertambah," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Program Memperkasa Model Baru Ekonomi di
sini hari ini.
Menurut Rahim, perubahan sikap oleh generasi muda itu perlu dilahirkan
sekarang kerana hasrat untuk melihat ekonomi bangsa Melayu meningkat
tidak akan tercapai sekiranya mereka masih menunjukkan sikap tidak acuh
dengan keadaan kedudukan ekonomi sekarang.
Beliau berkata tempat generasi muda Melayu dan Bumiputera bukan di
lokasi perhimpunan haram atau melepak bersama golongan yang tidak mahu
melihat bangsa Melayu maju.
"Kita tidak mahu lihat generasi muda mensia-siakan kehidupan mereka
kerana terpengaruh dengan tindakan orang yang tidak berminat melihat
kita tebus balik kedudukan atau maruah ekonomi kita di mana golongan itu
suka lihat generasi muda ini terpesong melakukan kegiatan politik yang
membazirkan masa dan merosakkan diri," katanya.
Menurutnya golongan muda seharusnya menghayati semangat patriotisme
ekonomi Bumiputera sebagai penghayatan untuk membawa mereka berusaha
meningkatkan ekonomi Melayu pada tahap tertinggi. - Bernama
No comments:
Post a Comment