Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kekalunjuranpertumbuhandaganganhingga6peratus/Article
Published: on 25 May 2012
KERAJAAN mengekalkan unjurannya bagi pertumbuhan perdagangan antara lima
dan enam peratus tahun ini meskipun ekonomi kedua terbesar dunia, China
dijangka mencatatkan pertumbuhan perlahan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata, ini kerana unjuran itu telah dibuat dengan mengambil
kira pertumbuhan perlahan ekonomi global berikutan krisis hutang Eropah
dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta China.
Beliau berkata, kerajaan percaya nilai perdagangan Malaysia dengan
China tahun ini tidak akan terjejas teruk kerana ekonomi kedua terbesar
dunia itu masih mampu mencatatkan pertumbuhan meskipun berdepan
persekitaran yang mencabar.
“Jumlah nilai dagangan keseluruhan dijangka berkembang antara
lima hingga enam peratus tahun ini. Adalah perkara biasa bagi jumlah
dagangan bulanan menunjukkan turun naik tetapi unjuran bagi keseluruhan
tahun ini adalah kekal pada antara lima dan enam peratus,” katanya pada
sidang media selepas merasmikan seminar mengenai Pembiayaan Perdagangan
kepada Pengeksport PKS yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan
Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Kuala Lumpur semalam.
Pada 2011, Malaysia terus mencatatkan nilai perdagangan luar
tertinggi sebanyak RM1.269 trilion, meningkat 8.7 peratus daripada
RM1.168 trilion pada 2010.
No comments:
Post a Comment