Source From (Utusan Malaysia):
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Published: on 25 May 2012
Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes@utusan.com.my
Mustapa Mohamed bersama Pengerusi
Perbadanan Pembangunan
Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) , Datuk Mah
Siew Keong
(tengah) dan Timbalan Pengarah 2 Matrade , Datuk Zakariah
Kamarudin melakukan gimik pelancaran Aplikasi Mobile Matrade
di Kuala
Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 24 Mei - Kerajaan hari ini
mengumumkan nilai siling bagi Geran Pembangunan Pasaran untuk perusahaan
kecil dan sederhana (PKS) ditingkatkan kepada RM100,000 untuk setiap
syarikat berbanding RM30,000 sebelum ini, berkuatkuasa 1 Julai ini.
Syarat maksimum perolehan tahunan syarikat untuk setiap permohonan
turut dinaikkan daripada RM5 juta kepada RM25 juta bagi menarik lebih
banyak syarikat dalam sektor perkhidmatan untuk menerokai pasaran luar
negara.
Jumlah maksimum pekerja juga ditingkatkan daripada 50 pekerja kepada 150 pekerja dalam syarat geran baru berkenaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata, bagi menampung peningkatan tersebut, jumlah keseluruhan
geran turut bertambah daripada RM20 juta pada 2011 kepada RM50 juta
tahun ini.
Katanya, peningkatan nilai siling dan maksimum perolehan dibuat
berdasarkan maklum balas PKS khususnya dalam sektor perkhidmatan yang
sebelum ini gagal memohon bantuan berikutan syarat maksimum yang
ditetapkan terlalu rendah.
"Oleh itu, dengan geran baru ini, diharapkan lebih ramai usahawan
sektor perkhidmatan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula
tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar
Kewangan Perdagangan untuk Eksport PKS, di sini hari ini.
Pada 2011, geran yang sama bernilai RM20 juta berjaya membantu 1,300
PKS dan perangkaan itu dijangka meningkat kepada 1,800 PKS pada tahun
ini.
Mengulas mengenai jangkaan Bank Dunia terhadap kejatuhan eksport ke
China pada tahun ini, beliau berkata, impaknya tidak membimbangkan
Malaysia.
"Setakat ini perkara berkenaan tidak besar kepada kita, dan kerajaan
ketika ini sedang berusaha menguatkan pelaburan serta permintaan
domestik.
"Sektor pelaburan domestik tumbuh 90 peratus diikuti sektor pembinaan
15 peratus. Pelaburan langsung asing juga mencatatkan RM7.5 bilion pada
suku pertama. Ekonomi kita agak baik ketika ini" katanya.
Tambah beliau lagi, walaupun berdepan dengan kemelut berkenaan
kerajaan masih optimis untuk mencapai sasaran pertumbuhan eksport antara
lima hingga enam peratus pada tahun ini ke negara berkenaan.
No comments:
Post a Comment