Published: on 16 May 2012
SME Factors Sdn Bhd (SME Factors), syarikat mengkhusus dalam pembiayaan boleh terima dan penyelesaian aliran tunai untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melancarkan ‘SME Success’, skim yang memperuntukkan kemudahan kredit bernilai RM200 juta kepada penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Kemudahan itu diwujudkan hasil kerjasama antara SME Factors dan PBBM Global Corp Bhd (PGC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Factors, Syed Zed Al Qudsy berkata, skim itu diperkenalkan untuk membantu usahawan PGC dan anggota Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) melebarkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi dan pada masa sama memberi manfaat kepada vendor dan kontraktor mereka.
“Kami menyediakan peruntukan awal RM200 juta. Jumlah ini dijangka akan dilangsaikan dalam tempoh enam bulan dan selepas itu, kami bercadang akan menambah lagi peruntukan.
“Buat permulaan, tiga anggota PBBM iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima peruntukan awal bernilai RM25 juta setiap satu. Baki peruntukan RM125 juta akan dimanfaatkan institusi membabitkan badan berkanun sehingga hujung tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran SME Success di Kuala Lumpur, semalam.
Majlis yang dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah PGC, Prof Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Syed Zed berkata, pengumuman produk terbaru membabitkan pemberian kemudahan pembiayaan kepada sektor swasta dalam tiga bulan lagi.
“SME Factors komited untuk membantu usahawan PKS dengan cara berkongsi pengalaman dan kepakaran kami bagi membolehkan sektor ini berkembang kukuh sekali gus menjadi antara tiang ekonomi utama negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment