Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UnjureksportPKS25peratus/Article/index_html
Published: on 21 May 2012
SME Corporation Malaysia (SME Corp) percaya lebih banyak perusahaan
kecil dan sederhana (PKS) di negara ini akan mengembangkan perniagaan
mereka, sekali gus mengeksport produk ke peringkat global dengan
jangkaan peningkatan sumbangan 25 peratus menjelang 2020 berbanding 19
peratus sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Habsah Hashim berkata, PKS
Malaysia juga sudah menunjukkan perubahan yang ketara apabila tidak lagi
menggunakan kaedah pemasaran yang lama, tetapi lebih inovatif.
Katanya, sejajar dengan itu SME Corp yakin sektor PKS akan turut
meningkatkan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK)
daripada 32 peratus yang dicatatkan pada masa ini.
“Banyak yang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu membangunkan
sektor PKS di negara ini kerana sektor ini dilihat mampu menyumbang 41
peratus kepada KDNK dalam tempoh lapan tahun lagi, malah produk PKS juga
sudah melalui revolusi yang bukan saja berkualiti, tetapi memenuhi
standard antarabangsa.
“Bagaimanapun, untuk memastikan PKS
terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, PKS memerlukan
pendekatan perniagaan yang berbeza di mana mereka perlu inovatif
perniagaan luar biasa,” katanya pada ucaptama sempena pelancaran
Persidangan Perniagaan PKS 2012 di Subang Jaya, semalam.
Menurutnya, sektor PKS turut menyumbang kepada peluang pekerjaan di
mana pada masa ini sumbangan pekerjaan bagi sektor itu adalah 59 peratus
dan pihaknya, menyasarkan ia juga akan meningkat kepada 62 peratus
menjelang pada 2020.
No comments:
Post a Comment