Friday, May 25, 2012

Persepsi buruk sukarkan wanita berniaga

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

Published: on 25 May 2012

KUALA LUMPUR 24 Mei - Persepsi terhadap kemampuan wanita berniaga menjadi antara punca utama mengapa usahawan golongan tersebut sukar berkembang di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Bhd. (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim berkata, hal itu menyebabkan usahawan wanita sukar mendapatkan rakan niaga dan paling menyedihkan kesukaran memperoleh dana kewangan daripada pihak bank.

“Sumber kewangan adalah kunci penting khususnya bagi memperkembangkan perniagaan. Persepsi adalah sesuatu perkara yang sukar diatasi.

“Justeru, usahawan wanita perlu sentiasa meningkatkan ilmu perniagaan termasuk mencari pelbagai alternatif termasuk mencari rakan niaga, pembekal yang baik serta kaedah pemasaran yang berkesan di dalam dan ke luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas forum keusahawan wanita yang dianjurkan oleh SME Corp bersama Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (ABAC) di sini hari ini.
Turut hadir Panel Keusahawanan Wanita SME Corp., Mariam Sulaiman dan Pengarah Institusi NAM bagi Memperkasa Wanita (NIEW), Tan Sri Rafiah Salim.

Jelas Hafsah, diharapkan forum yang dianjurkan oleh organisasinya itu dapat membantu golongan wanita mewujudkan rangkaian perniagaan khususnya bersama rakan niaga di kalangan negara-negara Asia Pasifik.

Dalam forum itu, tiga usahawan wanita dari New Zealand, Brunei dan China yang mengetuai organisasi masing-masing menyampaikan pembentangan bagaimana cabaran serta peluang dihadapi syarikatnya di negara masing-masing.

No comments: