Wednesday, May 9, 2012

Industri francais dijangka sumbang 2.6% kepada KDNK tahun ini

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Published: on 09 May 2012

KUALA LUMPUR 8 Mei - Kerajaan menyasarkan industri francais untuk menyumbang 2.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini berbanding 2.5 peratus pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata kerajaan dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menggalakkan lebih ramai usahawan untuk memilih francais sebagai cara untuk mengembangkan perniagaan mereka dan sekaligus membantu kerajaan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Kerajaan juga membangunkan program Francais Komuniti yang berkonsepkan turun padang untuk mempromosikan perniagaan francais mikro kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana."
"Program ini akan diadakan di seluruh negara bagi memberi peluang kepada semua golongan mengenali dan seterusnya menggalakkan lebih ramai lagi masyarakat berkecimpung dalam perniagaan francais terutamanya francais mikro," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MFA.

Sejak dimulakan pada bulan Oktober tahun lepas, beliau berkata, lapan program Francais Komuniti telah dilaksanakan di tujuh negeri dengan hasil nilai pelaburan yang berpotensi sebanyak RM16.3 juta.

Rohani juga berkata, kerajaan sedang membangunkan sistem francais atas talian yang dikenali sebagai MyFEX atau Malaysian Franchise Express bagi memudahkan urusan perkhidmatan berkaitan francais.
"Fasa pertama pembangunan sistem MyFEX iaitu e-Daftar yang dijangka dapat mula digunakan mulai pertengahan tahun ini akan membolehkan para usahawan dan perunding francais mendaftarkan perniagaan masing-masing secara atas talian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MFA, Abdul Malik Abdullah berkata, persatuan menyasarkan RM350 juta transaksi perniagaan dapat dijana sepanjang persidangan Franchise International Malaysia 2012 (FIM2012) yang bakal berlangsung dari 6 hingga 8 Julai di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini. - BERNAMA

"Kami yakin sasaran ini dapat dicapai berdasarkan transaksi perniagaan sebanyak RM327 juta yang dijana tahun lepas dengan bilangan pelawat mencecah 10,000 orang," kata Abdul Malik.

Abdul Malik juga berkata persatuan merancang untuk membina Wisma MFA di sekitar Lembah Klang dengan kos pembinaan RM3 juta dan dijangka siap menjelang akhir tahun depan. - BERNAMA

No comments: