Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm
Published: on 18 May 2012
KUALA LUMPUR 17 Mei - Para usahawan Bumiputera seharusnya perlu
mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk menggunakan sistem perbankan
Islam dengan lebih kerap di dalam perniagaan, kata Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Katanya produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi kewangan di negara ini adalah berlandaskan hukum syarak.
"Dan adalah terbukti bahawa negara kita kini mempunyai sistem
kewangan Islam yang lengkap, merangkumi takaful dan perniagaan saham
dalam Bursa Malaysia."
"Selain itu, kita juga mempunyai Pasaran Kewangan Antarabangsa di
Labuan yang memainkan peranan penting dalam perkembangan pasaran wang
antarabangsa, “ katanya semasa berucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan
ke-21 Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia.
Skim Pembiayaan PKS Patuh Shariah telah diumumkan baru-baru ini
dengan dana berjumlah RM2 bilion dalam bentuk rebat 2.0 peratus bagi
permohonan perbiayaan berjumlah sehingga RM5 juta yang diluluskan
sehingga 2013.
Muhyiddin juga berkata kaum Bumiputera harus berusaha berhijrah yang
lebih besar, iaitu kepada yang berteknologi tinggi berasaskan inovasi
dan kreativiti.
"Skala ekonomi sebegini mempunyai nilai tambah dan berkeupayaan
menjana pendapatan tinggi berasaskan sektor-sektor baru," katanya.
Pengetahuan teknologi terkini ditambah dengan inovasi boleh menjana
ekonomi kaum Bumiputera dengan lebih tinggi lagi manakala idea-idea
segar dan kepakaran baru dari golongan usahawan muda juga perlu
dioptimumkan, katanya.
"Oleh itu, usahawan Bumiputera perlu lebih berani meneroka
bidang-bidang baharu dalam sektor bernilai tinggi yang belum dikuasai
oleh sesiapa, termasuk dalam pasaran baru dan tidak bergantung kepada
pasaran domestik semata-mata," katanya.
Setakat ini, Muhyiddin berkata kerajaan telah menyediakan peluang
perniagaan yang bernilai RM11 bilion untuk dimanfaatkan oleh kaum
Bumiputera melalui inisiatif-inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera
bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment