Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Published: on 16 May 2012
KUALA LUMPUR 15 Mei - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilihat
memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pelaksanaan dasar
gaji minimum, terutamanya majikan di luar bandar.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz
Tun Mahathir berkata, bagi PKS di bandar, gaji RM900 mungkin berpatutan
tetapi bagi majikan di luar bandar, ia mungkin agak membebankan mereka.
"Kerajaan telah menerima beberapa maklum balas daripada industri
tentang perkara ini dan antara yang disuarakan adalah kebimbangan
mengenai lokasi mereka.
"Mereka mempunyai tempoh enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan
dasar baru ini. Kerajaan bersedia membantu mereka dalam meningkatkan
produktiviti pekerja menerusi latihan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas
majlis pelancaran produk SMEsuccess dan perjanjian kerjasama dengan PBBM
Global, di sini hari ini.
Mukhriz berkata, kerajaan telah menjangka situasi itu akan berlaku di
peringkat awal pelaksanaan dasar gaji minimum, bagaimanapun, kesannya
belum kelihatan.
"Kami faham pelaksanaannya akan memberi kesan kepada industri khususnya PKS dari segi kos dalam jangka masa pendek.
"Apa yang dilakukan kerajaan ketika ini adalah memastikan mereka
memperoleh pekerja terlatih yang layak untuk menerima gaji minimum
berkenaan.
"Latihan akan disediakan. Hasilnya, seorang pekerja terlatih boleh
melakukan produktiviti menyamai tiga orang pekerja biasa dan mereka
hanya dibayar gaji dua kali ganda dari gaji asal," jelasnya.
Beliau berkata, dasar ini sebenarnya memberi situasi menang-menang
kepada kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja untuk jangka masa
panjang.
"Dasar ini akan tetap diteruskan dan selepas dilaksanakan kelak, kita akan lihat kesannya," tambah beliau.
Jumlah PKS tempatan melebihi 598,000 syarikat iaitu meliputi 99
peratus daripada perusahaan di negara ini dan menyumbang hampir 31
peratus kepada keluaran dalam negara kasar.
No comments:
Post a Comment