Monday, May 28, 2012

Dana bantu francaisor masih berbaki RM7.5j

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DanabantufrancaisormasihberbakiRM7_5j/Article

Published: on 28 May 2012
Oleh Shahrizan Salian

PERBADANAN Nasional Bhd (PNS) masih mempunyai dana berjumlah RM7.5 juta bagi membantu francaisor tempatan meneroka peluang mengembangkan perniagaan masing-masing ke luar negara.

Jumlah itu sebahagian daripada peruntukan RM10 juta yang disediakan kerajaan di bawah Dana Perkembangan Luar Negara yang kali pertama diperkenalkan pada Oktober tahun lalu. Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata dana berkenaan antara sokongan yang disediakan pihaknya untuk membantu perkembangan francaisor tempatan menembusi pasaran luar negara.

“Perlu diingat pasaran di Malaysia hanya terdapat 28 juta penduduk. Jika ke China atau India, jumlah penduduknya satu bilion dan jumlah penduduk dunia adalah tujuh bilion.

“Maka, francaisor tempatan tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada pasaran domestik kerana pasaran yang sebenarnya di luar sana,” katanya dalam satu temubual bersama kumpulan akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di ibu pejabat baru PNS di Bangsar South, baru-baru ini.

PNS, agensi kerajaan yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan industri francais itu turut bertanggungjawab membantu francaisor dan francaisi bagi francais tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara.

Syarikat francais terutama milik Bumiputera yang layak serta mempunyai operasi perniagaan kukuh masih boleh memohon Dana Perkembangan Luar Negara yang pertama kali diperkenalkan itu.

Syed Kamarulzaman berkata, meskipun PNS menyediakan sokongan dalam bentuk kewangan dan khidmat nasihat, pengusaha francais tempatan yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke luar negara perlu mengambil kira tiga faktor penting sebelum berbuat demikian.

Faktor berkenaan katanya, adalah mereka perlu terlebih dulu mendaftar tanda niaga masing-masing untuk mengelakkan masalah melanggar peraturan, memahami terlebih dulu keperluan pasaran di negara yang mahu diteroka serta mendapatkan garis panduan menjalankan perniagaan di kawasan itu.

“Mereka perlu memahami sepenuhnya keperluan yang ada di negara itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Dana Perkembangan Luar Negara, beliau berkata nilai peruntukan maksimum yang boleh dipohon francaisor adalah RM1 juta dengan modal pembiayaan ideal adalah 50:50, iaitu separuh daripada keperluan modal pemohon.

Katanya, tempoh bayaran balik pula lebih panjang berbanding dana lain disediakan PNS iaitu antara lima ke tujuh tahun, dengan caj kadar keuntungan dikenakan adalah enam peratus.

“Jumlah peruntukan di bawah dana ini sebahagian daripada RM40 juta ke RM50 juta yang disasar PNS diberikan kepada francaisor menerusi tujuh dana yang disediakan,” katanya.

Setakat ini terdapat 245 francaisi dan 46 francaisor tempatan yang beroperasi di lebih 50 negara membabitkan 1,393 jumlah outlet.

PNS juga bertanggungjawab dalam sesi padanan perniagaan serta sesi forum perniagaan bagi setiap misi perdagangan di luar negara.

No comments: