Thursday, February 7, 2013

Matrade Bergabung Dengan Schlumberger Pacu NKEA Minyak Dan Gas

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bergabung dengan Schlumberger sebagai satu daripada inisiatif-inisiatif strategiknya untuk meningkatkan momentum ke arah menjayakan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) minyak dan gas.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=926206
Published: February 07, 2013

Schlumberger ialah pembekal penyelesaian teknologi, pengurusan projek bersepadu dan maklumat terkemuka di dunia bagi pelanggan yang bekerja dalam industri minyak dan gas di seluruh dunia.

Matrade akan bekerjasama dengan syarikat itu untuk menganjurkan Program Penyumberan Global bertajuk "Peluang Perniagaan dengan Schlumberger", bagi syarikat minyak dan gas Malaysia.

Program ini, yang akan diadakan pada 27 Feb di Menara Matrade di sini, merupakan satu wadah bagi syarikat minyak dan gas untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing secara terus bagi keperluan pemerolehan tempatan dan global Schlumberger.

Dalam satu kenyataan, Matrade berkata program ini juga bertujuan mewujudkan kesedaran tentang rangkaian bekalan dan keperluan penyumberan Schlumberger, serta peluang-peluang perniagaan yang ada di syarikat itu.

Program ini akan menampilkan penceramah yang akan menyentuh tentang tajuk-tajuk seperti "Gambaran Menyeluruh tentang Pemerolehan dan Penyumberan Schlumberger" dan lima bidang tumpuan keutamaan penyumberannya.

Pertemuan perniagaan individu dengan pasukan pemerolehan Schlumberger akan juga diadakan pada sebelah petang.

Schlumberger juga menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan yang paling luas dalam industri, dari penerokaan hingga pengeluaran, dan Malaysia menjadi keutamaan sebagai lokasi bagi pejabat operasinya di Asia Pasifik.

Matrade menjangka usaha tahunannya dalam menyediakan platform melalui Program Penyumberan Global akan mencetuskan kesedaran terhadap keupayaan produk dan perkhidmatan Malaysia di kalangan syarikat-syarikat seperti Schlumberger.

-- BERNAMA

No comments: