Tuesday, February 12, 2013

AGDB Labur RM50,000 Untuk Projek Tanaman Tebu, Terung

HULU TERENGGANU, 10 Feb (Bernama) -- AGDB Venture Sdn Bhd, sebuah syarikat milik usahawan siswazah yang bertapak di Kuala Berang di sini, akan mengukuhkan ekonomi syarikatnya dengan memanfaatkan rezab tanah di sekeliling kolam ternakan ikan perniagaannya bagi projek tanaman sampingan yang akan memberi pendapatan tambahan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=927312
Published: February 12, 2013

Justeru itu, syarikat bumiputera itu akan membuat pelaburan kira-kira RM50,000 untuk projek tanaman tebu dan terung yang akan dimulakan menjelang bulan depan.

Pengarah urusannya Mohd Romzi Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM30,000 akan dilabur dalam projek tanaman tebu manakala baki RM20,000 lagi adalah projek tanaman terung.

"Projek terbaru ini merupakan kesinambungan bagi menambahkan pendapatan selepas projek ternakan ikan keli, patin, baung dan talapia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Untuk projek tebu, katanya pihaknya akan menanam sebanyak 20,000 rumpun tebu telur yang berasal dari Johor, yang dijangka boleh menghasilkan 100,000 batang.

"Biasanya tebu boleh dituai dalam masa 8-9 bulan apabila ia telah matang dan harga tebu antara RM1 hingga RM1.20 sebatang," katanya.

Mengikut perancangan, Mohd Romzi berkata pihaknya akan memasarkan sendiri tebu itu sama ada dalam bentuk batang dan juga proses untuk dijual kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Beliau berkata pihaknya memilih tebu telur daripada tebu kampung untuk ditanam kerana aroma tebu telur lebih manis dan wangi berbanding tebu kampung.

Romzi berkata untuk projek terung pula, pihaknya bercadang menanam satu ekar di atas tanah rezab kolam ikan di Ajil di sini dan satu lagi kawasan di Bukit Payong, Marang.

"Kita telah sediakan benih terung sebanyak 5,000 pokok dan terung itu nanti akan dipasarkan di sekitar Kuala Terengganu apabila ia mengeluarkan hasil tiga bulan lagi kelak," katanya.

Mengenai ternakan ikan pula, Mohd Romzi berkata sebanyak satu juta benih ikan baung, keli, talapia dan patin dihasilkan setiap tahun untuk dibekalkan kepada jabatan-jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau berkata pada masa ini pihaknya mempunyai tujuh buah kolam asohan ikan, kesemuanya di Ajil dan di Bukit Payong.

-- BERNAMA

No comments: