Sunday, February 24, 2013

Perak kembangkan produk halal

IPOH 22 Feb. - Kerajaan negeri akan menggunakan Segitiga Pertumbuhan Indonesia - Malaysia-Thailand (IMT-GT) sebagai platform untuk mengembangkan pasaran hab halal Perak di peringkat antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, melalui kerjasama itu, produk halal negeri Perak boleh dipasarkan secara lebih meluas.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130223/wu_01/Perak-kembangkan-produk-halal
Published: February 24, 2013

Katanya, setakat ini, kerajaan negeri sedang mengenal pasti daerah di selatan Thailand untuk tujuan tersebut.

"Logo halal Malaysia memang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Jadi, sudah semestinya negara-negara ini mahu bekerjasama dengan kita.

"Sasaran utama kita adalah meninjau kawasan yang boleh membekalkan produk yang 40 peratus siap di negara terbabit dan 60 peratus lagi disiapkan di Malaysia. Kita boleh meletakkan logo halal Malaysia," katanya ketika ditemui selepas Program Turun Padang di Halal Park, Tambun, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Mohamad Nor Yahya dan Pengerusi Halal Park negeri, Abdullah Sani Shaari.

Jelas Hamidah, Mara telah diarahkan untuk mengenal pasti daerah di selatan Thailand yang boleh dipilih untuk diadakan kerjasama dua hala.

Mengulas tentang Halal Park, beliau memberitahu, kerajaan negeri akan menambah peruntukan bagi memastikan kawasan perindustrian halal itu dikenali ramai.

Tahun lalu katanya, sebanyak RM32.45 juta telah diperuntukkan bagi tujuan promosi.

Sementara itu, Abdullah Sani berkata, hab halal yang mempunyai 54 industri itu terdiri daripada usahawan-usahawan yang mengusahakan operasi makanan halal, kimpalan serta elektrik.

Tahun lalu katanya, Halal Park terbabit menghasilkan RM20 juta pengeluaran untuk pasaran di Perak.

"Apa yang kami harapkan sekarang ialah supaya Halal Park ini diletakkan dalam peta pelancongan Perak. Papan tanda perlu dipasang di pekan Tambun untuk memudahkan orang ramai mencari lokasi kami.

"Ini sudah semestinya menambah pendapatan kami dan juga meningkatkan pasaran produk halal negeri Perak," katanya.

No comments: