Saturday, February 2, 2013

Bagaimana PKS menangani kenaikan nilai ringgit?

PADA awal tahun lepas, kadar tukaran wang dolar Amerika (AS$)- Ringgit Malaysia (RM) berada pada paras RM3.17 sedolar, dan kini berada di paras sekitar RM3.00. Jika anda bercadang mengunjungi Amerika Syarikat atau Eropah, atau membeli barangan asing, kekuatan semasa ringgit sememangnya menguntungkan anda.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130202/ek_03/Bagaimana-PKS-menangani-kenaikan-nilai-ringgit
Published: February 02, 2013

Malah, apabila membandingkan prestasi mata wang di Asia, ringgit merupakan antara mata wang terbaik setakat ini.

Namun begitu, PKS dan perniagaan lain perlu sentiasa bersedia untuk menangani sebarang kesan buruk yang timbul daripada pengukuhan nilai ringgit.

Memandangkan ringgit diperdagangkan di dalam negara, perniagaan asing yang membeli barangan Malaysia perlu membayar pembekal tempatan dalam mata wang asing, lazimnya dalam dolar AS.

Sebagai contoh, jika Syarikat A ialah pengeluar barangan eksport ke New York, ia akan menerima pembayaran dalam dolar AS setiap bulan, katakan AS$1 juta pada Januari.

Ia sepatutnya boleh menukarkan bayaran tersebut dan menerima RM3.17 juta.

Bagaimanapun, apabila ringgit berada paras RM3 atau lebih rendah, syarikat A hanya mampu menerima RM3 juta atau kurang.

Perbezaan kira-kira RM170,000 merupakan satu kerugian besar yang ditanggung oleh perniagaan semata-mata kerana pergerakan tukaran asing.

Memandangkan perkara ini tidak diduga, Syarikat A mungkin tidak mempunyai margin untung secukupnya untuk menampung kerugian.

Selain daripada ketidakstabilan pasaran dan turun naik kadar pembiayaan, pengurusan risiko tukaran asing kini semakin penting berbanding masa lepas.

Dengan itu, syarikat perlu melindungi perniagaan mereka daripada pendedahan kepada risiko tukaran asing sedemikian.

PKS boleh menyusun struktur pengurusan risiko tukaran asing untuk mengurangkan kerugian yang mungkin dialami.

Langkah pertama yang patut diambil ialah mencari bank yang boleh dipercayai dan mempunyai reputasi tinggi dengan pengalaman mendalam dalam pengurusan risiko tukaran asing.

Buat permulaan, PKS dengan keperluan tukaran asing yang lebih ringkas perlu melindungi perniagaan mereka daripada suasana semasa yang tidak menentu dengan melaksanakan kontrak hadapan tukaran asing.

Ini membolehkan pembeli atau penjual mata wang tertentu untuk menetapkan kadar tukaran asing semasa melakukan penyerahan pada masa depan.

PKS boleh meminta nasihat dan pandangan bank tentang prestasi pasaran dalam tempoh tersebut dan sama ada mereka mempunyai alat untuk membantu PKS melindungi nilai pendedahan risiko FX tersebut.

PKS perlu menggunakan alat selain daripada produk dan perkhidmatan pembiayaan lazim untuk menghadapi cabaran daripada pemulihan ekonomi yang tidak begitu kukuh.

Kaedah seperti lindung nilai kadar tukaran asing boleh mengoptimumkan pulangan perniagaan dan mengehadkan kerugian pada tahap yang lebih berpatutan.

No comments: