Tuesday, February 5, 2013

52 siswa tani sahut cabaran

Biarpun bergelar usahawan tani, gaya ditampilkan 52 peserta Program Inkubasi Usahawan Tani Universiti Putra Malaysia (UPM) 2013 cukup segak laksana tokoh korporat berjaya. br />
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/articles/52siswatanisahutcabaran//Article
Published: February 05, 2013

Memakai pakaian rasmi hitam merah, mereka tampak yakin dengan bidang pilihan, sekali gus mahu membuktikan sektor pertanian mampu memberi pulangan lumayan.

Mereka adalah peserta fasa kedua program itu bagi membantu melahirkan usahawan tani di kalangan generasi muda terutama graduan institusi pengajian tinggi (IPT).

Minat mendalam menceburi bidang pertanian menjadi faktor kepada pemilihan peserta terbabit yang melalui proses saringan ketat.

Daripada 300 peserta, hanya sebahagian kecil saja terpilih selepas lulus ujian psikometrik dan temu duga.

Julung kalinya mereka ditemukan secara rasmi de–ngan media sempena Majlis Pelancaran Program Inkubasi Usahawan Tani 2013 di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian di UPM Serdang, baru-baru ini.

Perasmian dilakukan Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, Program Inkubasi Usahawan Tani berbentuk latihan dan keusahawanan selama enam bulan.

“Program ini disediakan untuk graduan dengan kelayakan minimum diploma.

“Program ini dizahirkan menerusi peruntukan disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM3.8 juta,” katanya.

Dr Abdul Shukor berkata, objektif program itu bagi melahirkan siswa tani yang cemerlang dan berwibawa, selain bersedia melaksanakan projek pertanian selepas tamat berkursus.

“Objektif lain adalah melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan pertanian berkaitan bidang pertanian merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaan tani.

“Program ini juga ‘pakatan strategik’ dengan sektor awam dan swasta bagi melahirkan usahawan tani berjaya.

“Ia juga menjadi penghubung bagi penempatan graduan UPM berkaitan pertanian untuk mengikuti latihan usahawan di institusi dalam dan luar negara,” katanya.

Katanya, UPM akan menjadi pusat rujukan sehenti berkaitan pembangunan usahawan tani.

“Program ini adalah selaras dengan matlamat keempat Pelan Strategik UPM 2011- 2013 yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.

“Matlamat itu untuk memperkasakan UPM sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan pertanian serta biosumber tropika,” katanya.

Program siri pertama dilancarkan pada Februari tahun lalu mencapai matlamat selepas 35 peserta yang menyertai tiga modul menamatkan program mereka.

Katanya, daripada jumlah itu, 16 peserta terbabit dalam bidang keusahawanan pertanian termasuk penternakan ikan tilapia, penanaman rock melon secara fertigasi dan baja kompos.

“Sebanyak lapan syarikat turut dibuka membabitkan persendirian dan perkongsian dalam kalangan peserta,” katanya.

Paling membanggakan salah satu syarikat ditubuhkan iaitu Syarikat Gemilang Agrobiz Enterprise menerima Anugerah ‘Best Student Enterprises 2012’ anjuran KPT pada 5 Disember lalu dan menerima piala dan wang tunai RM20,000.

Katanya, semua lapan syarikat yang ditubuhkan kumpulan pelajar berkenaan menerima pinjaman disediakan Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“Program ini menerima pengiktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan perjanjian turut dimeterai antara UPM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada 15 Julai lalu.

“Menerusi kerjasama ini, semua ahli kelab MyAgrosis kumpulan pertama dikehendaki menyertai Program Inkubasi Usahawan Tani sebelum layak memulakan perniagaan,” katanya.

Kini, enam modul kursus ditawarkan kepada peserta program seperti tanaman rock melon, akuakultur, ternakan ayam kampung, perkhidmatan makanan, modul perdagangan dan ekopelancongan.

“Pada masa sama, usaha memantapkan jati diri peserta dilakukan dengan mengadakan satu program ‘team-building’ anjuran bersama UPM dan Biro Tata Negara bermula 7 hingga 9 Januari lalu.

“Diharap program seperti ini dapat memupuk disiplin dan kerjasama dalam kalangan peserta program supaya dapat terus berjaya dan menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Pengarah Projek Inkubasi Usahawan Tani UPM, Sahbani Saimin berkata, kerjasama terjalin antara agensi kerajaan dan swasta memudahkan peserta mendapatkan modal pinjaman awal serta lokasi perniagaan.

“Sebanyak lapan syarikat menyokong projek ini dengan memberi tempat atau menyewakan tanah mereka kepada peserta atau berkongsi perniagaan,” katanya.

Katanya, ada baiknya peserta kursus meneruskan proses pembelajaran dengan syarikat swasta terutama dalam mendapatkan bantuan teknikal dan pengalaman.

“Sepanjang enam bulan mengikuti modul disediakan, dua bulan daripadanya dikhususkan untuk peserta mempelajari teori berkaitan ilmu keusahawanan, pelan perniagaan dan cara membuat persembahan di depan panel.

“Mereka juga diajar me–ngenai skil komunikasi yang diperlukan dalam menjalinkan kerjasama pada masa depan,” katanya.

Baki empat bulan kursus pula banyak ditumpukan kepada latihan amali.

“Sepanjang tempoh berkursus setiap peserta menerima elaun khas, RM1,000 sebulan, selain makan dan minum serta tempat penginapan,” katanya.

No comments: