Friday, February 15, 2013

Inisiatif MyNEF Dan PuSH Sasar Bantu Perniagaan 3,000 Usahawan Teknologi Bumiputera

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Yayasan Usahawan Baharu (myNEF), satu organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan oleh peserta industri ICT dan kreatif menyasarkan untuk membangunkan dan membantu sekurang-kurangnya 3,000 usahawan teknologi Bumiputera sepanjang tiga tahun akan datang.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=928028
Published: February 15, 2013

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PUsHbantuusahawanteknologiBumiputera/Article
Published: February 15, 2013

pix_gal0
Program Pemangkin Usahawan (PUsH) yang dikendalikan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) serta Yayasan Usahawan Baru (myNEF), menyasarkan membantu 3,000 usahawan teknologi Bumiputera menjadi syarikat berdaya tahan dalam tempoh tiga tahun ini.

PUsH yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada November lalu adalah inisiatif yang bermatlamat mewujudkan ekosistem berdaya maju dalam kalangan pengusaha industri teknologi maklumat dan kreatif Bumiputera.

Inisiatif ‘dari industri untuk industri’ itu akan membantu dan melatih usahawan teknologi Bumiputera sedia ada untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan masing-masing.

Tiga inisiatif utama
Pengerusi myNEF, Ashran Ghazi, berkata tiga inisiatif utama program PUsH untuk mencapai sasaran berkenaan ialah membentuk rangkaian pengedaran, rangkaian pemasaran isi kandungan dan kerjasama global.

Katanya, usahawan teknologi Bumiputera yang disasarkan dari kalangan syarikat yang bergiat dalam sektor pembangunan perisian, isi kandungan kreatif dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT).

“Matlamat program ini untuk membantu sebaik mungkin usahawan Bumiputera mengendalikan syarikat berdaya tahan.

“Bagi mencapainya, kami akan memanfaatkan program kerajaan yang sedia ada untuk membantu kumpulan usahawan berkenaan dan PUsH berperanan menghubungkan mereka dengan platform yang betul,” katanya pada taklimat media berhubung pelan inisiatif PUsH di Kuala Lumpur, semalam.

Diberi mandat
myNEF diberikan mandat oleh kerajaan untuk berhubung dengan usahawan teknologi Bumiputera dan mengenal pasti bidang utama mengembangkan perniagaan. Yayasan itu memperoleh dana bernilai RM50 juta daripada kerajaan untuk melaksanakan program PUsH.

Program PUsH turut disertai 12 rakan pengendali lain yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan universiti.

Antara rakan pengendali PUsH ialah Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ashran berkata, program PUsH menetapkan sasaran khusus tahun pertama untuk setiap inisiatif yang akan dilaksanakan.

Katanya, sasaran itu antaranya meningkatkan sehingga 40 peratus pendapatan syarikat Bumiputera yang bergiat dalam bidang pembangunan perisian dan sehingga 20 peratus bagi yang terbabit dalam perniagaan perkhidmatan IT.

“Program ini juga menyasarkan membantu mengedarkan sehingga 10 harta intelek (IP) syarikat Bumiputera yang bergiat dalam sektor isi kandungan kreatif serta memuktamadkan 18 kerjasama di luar negara,” katanya.

Buat masa ini, myNEF menguruskan direktori yang mengandungi senarai syarikat Bumiputera dalam sektor ICT. Direktori itu kini mengandungi 485 syarikat berdaftar.

Dianggarkan, terdapat kira-kira 8,000 syarikat ICT Bumiputera yang berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berdasarkan direktori myNEF, didapati hanya sembilan peratus daripada 485 syarikat berkenaan meraih pendapatan tahunan bernilai melebihi RM5 juta dan 45 peratus meraih pendapatan tahunan kurang daripada RM200,000.

Sebanyak 423 syarikat pula mempunyai kurang daripada 50 pekerja, malah 361 didapati mempunyai kurang daripada 20 pekerja.

myNEF akan mengendalikan beberapa siri pameran bergerak di seluruh negara bermula 17 Februari ini di Seremban untuk memberi penjelasan dan mendapatkan lebih banyak peserta untuk program PUsH. Setakat ini, 41 syarikat sudah menyertai program berkenaan.

No comments: