Saturday, August 4, 2012

41 bumiputera dikenal pasti

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20120804/wu_01/41-bumiputera-dikenal-pasti

Published: August 04, 2012
Oleh NORAZLINA ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

BALIK PULAU 3 Ogos - Seramai 41 usahawan bumiputera di Pulau Pinang telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan Bumiputera negeri, Muhamad Farid Saad berkata, kumpulan usahawan itu terdiri daripada usahawan pertengahan yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan yang berdaya maju.

"Usahawan pertengahan ini dilihat sangat berpotensi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan dan mereka ini akan diberikan bantuan dan bimbingan daripada beberapa agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Dalam masa dua tahun, kita berharap 41 usahawan bumiputera di negeri ini akan berjaya dan bergelar jutawan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Promosi Produk Industri Asas Tani Keluaran Usahawan Bumiputera Pulau Pinang di Agrobazar K-Shoppe, Taman Seri Indah, Balik Pulau di sini.

Hadir sama Pengarah FAMA Wilayah Utara, Mohd. Radzi Muhammad Hanapiah dan Pengarah FAMA negeri, Habibah Sulaiman.

Majlis pelancaran itu bagi mempromosikan produk kuih dan biskut raya melibatkan kumpulan sasar iaitu pengeluar kuih dan biskut raya seramai 32 orang dan sembilan orang usahawan pemasaran.

Muhamad Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong berkata, FAMA telah memperuntukkan RM300,000 bagi membantu mempromosikan produk usahawan bumiputera tersebut di seluruh Malaysia.

Menurutnya, program kumpulan sasar tersebut diwujudkan untuk membantu usahawan mengembangkan pasaran produk tempatan agar dikenali pengguna dan dapat bersaing dengan produk dari luar.

"Pada Oktober nanti, 10 usahawan bumiputera yang terpilih di negeri ini akan dibawa ke Jakarta dan China untuk diberi pendedahan dalam perniagaan," ujarnya.

Sementara itu, Muhamad Farid berkata, Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang akan diadakan di Kubang Menerong, Tasek Gelugor pada 9 hingga 17 November ini,.

"Kita jangkakan sebanyak 350 buah gerai sementara akan dibina untuk fasa pertama dan fasa kedua pula, sebanyak 400 gerai secara tetap akan diwujudkan.

"Kawasan itu akan menjadi tapak tetap ekspo tersebut dan peruntukan sebanyak RM10.2 juta telah disediakan untuk penganjuran program tersebut," ujarnya.

No comments: