Friday, August 3, 2012

Malaysia cari calon usahawan kreatif

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Malaysiacaricalonusahawankreatif/Article

Published: August 03, 2012
Oleh Zuraidah Mohamed

Mukhriz, Dhakshinamoorthy dan Hasnizam pada pelancaran  Piala Perniagaan Kreatif Malaysia 2012  di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin  
Mukhriz, Dhakshinamoorthy dan Hasnizam pada pelancaran Piala Perniagaan 
Kreatif Malaysia 2012 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Pertandingan pilih wakil terbaik negara ke Copenhagen
Kuala Lumpur: Usahawan dalam industri kreatif yang mempunyai pelan perniagaan baik boleh mengembangkan idea dan kreativiti peringkat antarabangsa dengan menyertai Piala Perniagaan Kreatif Malaysia 2012.

Pertandingan anjuran StartupMalaysia.org dengan kerjasama Urban Village serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bertujuan meningkatkan kemahiran perniagaan serta bilangan syarikat yang berjaya dalam industri kreatif.

Peserta perlu sedia rakaman video tiga minit mengenai perniagaan”. - Dash Dhakshinamoorthy, Pengasas StartupMalaysia
Pengasas StartupMalaysia, Dash Dhakshinamoorthy, berkata usahawan baru dan lama bergiat dalam bidang seperti reka bentuk, pengiklanan, kraf, muzik, penerbitan kandungan termasuk filem dan animasi dipelawa menyertai pertandingan.

Nilai 10 terbaik
Katanya, hanya 10 penyertaan pelan perniagaan yang baik akan dipilih serta dinilai dengan lebih lanjut bagi membolehkan usahawan terbaik mewakili negara pada Piala Perniagaan Kreatif Global 2012 di Copenhagen, Denmark pada November ini.

“Peserta perlu menyediakan rakaman video tiga minit mengenai perniagaan mereka dan menghantarnya kepada pautan youtube, cbc2012@startupmalaysia.org sebelum 30 Ogos ini.
“Peserta akhir melalui proses saringan. Mereka perlu membuat pembentangan mengenai perniagaan kreatif sebelum dipilih mewakili negara ke Copenhagen,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Piala Perniagaan Kreatif Malaysia 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Hadir sama, Pengarah Urban Village, Hasnizam Zaki.

Sementara itu, Mukhriz berkata, berdasarkan kaji selidik Industri Kreatif MSC pada 2008, industri kandungan tempatan dijangka berkembang pada kadar purata 11.4 peratus untuk mencapai RM16 bilion menjelang 2013.

Pendapatan RM2.3 bilion
Beliau berkata, pada separuh pertama 2011, pendapatan dicatatkan syarikat berstatus multimedia super corridor (MSC) dalam industri kandungan kreatif mencecah RM2.3 bilion. Syarikat yang terbabit adalah animasi, kesan visual, pasca penerbitan dan permainan komputer.

Katanya, industri animasi global juga dijangkakan meningkat daripada AS$25 bilion pada 2010 kepada AS$35 bilion pada 2013.

“Justeru, banyak potensi serta ruang boleh diambil pesertakerana industri kandungan kreatif dijangka terus berkembang pesat,” katanya.

No comments: