Wednesday, August 29, 2012

MFA iktiraf pencapaian usahawan francais

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120829/ek_01/MFA-iktiraf-pencapaian-usahawan-francais

Published: August 29, 2012


Manjit Singh Sachdev (dua dari kanan) bersama Richard Ong Thiam Boon (kanan), 
Mohd Hizam Hanafiah dan Mohamad Shukri Salleh (kiri) menunjukkan contoh 
piala AFM 2012 pada majlis pengenalan anugerah berkenaan, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menganjurkan Anugerah Francais Malaysia (AFM) 2012 pada 23 Oktober depan bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan pemain industri berkenaan.

Pengerusi AFM, Datuk Manjit Singh Sachdev berkata, penganjuran anugerah kali ke-15 ini penting bagi menghargai usaha yang telah dilakukan untuk mengukuhkan industri francais bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

"AFM akan menjadi galakan kepada mereka untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai matlamat masing-masing.

"Anugerah ini sangat telus dan pemenang dipilih oleh hakim berkecuali yang terdiri daripada golongan profesional dan akademik yang tiada kaitan dengan industri francais bagi mengekalkan prestijnya," katanya pada sidang akhbar pengenalan penganjuran AFM 2012 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bersama AFM, Richard Ong Thiam Boon, Ahli Jawatankuasa MFA, Mohamad Shukri Salleh dan Pengerusi Anugerah AFM, Mohd Hizam Hanafiah.

AFM 2012 menawarkan lima kategori anugerah iaitu keseluruhan, sistem francais, terbuka, francaisi dan khas.

Anugerah ini terbuka kepada semua pemain industri francais sama ada menjadi ahli MFA atau tidak dan permohonan boleh dilakukan bermula hari ini sehingga 28 September ini melalui MFA.

AFM 2012 akan dilangsungkan di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya dan akan disempurnakan oleh Penaung MFA, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung MFA Mohamad Shukri Salleh berkata, persatuan menggalakkan lebih ramai golongan muda menjadi usahawan dengan menubuhkan francais mikro bagi jenama tempatan pada kos sehingga serendah RM50,000.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada matlamat persatuan itu untuk melahirkan lebih ramai usahawan bagi produk tempatan dan juga antarabangsa.

"Kerajaan akan membantu mereka yang berminat dalam industri ini, dan setakat ini kami memiliki lebih daripada 600 francais, manakala kira-kira 48 jenama tempatan kita boleh di dapati di 50 negara berbeza," katanya.

Katanya, MFA juga menyasar produk tempatan menembusi dengan lebih meluas lagi di empat negara iaitu Indonesia, India, China dan Asia Barat.

Antara produk tempatan yang telah membentuk francais di pasaran antarabangsa ialah Secret Recipe, Marry Brown dan Nelson's.

No comments: