Thursday, August 23, 2012

Myfranchise lahir usahawan kopi

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20120823/ko_03/Myfranchise-lahir-usahawan-kopi

Published: August 23, 2012
Oleh fairus kassim
ekonomi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Malaysian International Franchise Sdn. Bhd. (Myfranchise) merancang melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya menerusi jenama francaisi antarabangsa, Gloria Jeans Coffee menjelang 2016.

Myfranchise yang merupakan cabang pelaburan milik penuh Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) merupakan pemegang master francaisi Gloria Jeans Coffee bagi pasaran Malaysia dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fauzi Awang berkata, jenama kopi dari Australia berkenaan telah dibawa oleh Myfranchise sejak 2006 dan mula difrancaiskan kepada usahawan dua tahun kemudian.

Katanya, Gloria Jeans Coffee kini memiliki 17 buah cawangan dan telah berjaya melahirkan 12 usahawan.
"Myfranchise menyasarkan memiliki 50 buah cawangan dan melahirkan 30 orang usahawan dalam tempoh empat tahun akan datang.

"Myfranchise menggunakan konsep membangunkan sendiri sesebuah cawangan dan menyerahkannya kepada usahawan ketika perniagaan berkenaan sudah stabil.

"Kami tidak mengejar keuntungan dengan memiliki banyak cawangan seperti pemegang master francaisi jenama antarabangsa yang lain kerana matlamat Myfranchise adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan baru di bawahnya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Fauzi berkata, setakat ini program pembangunan francais Gloria Jeans Coffee telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan ada daripada usahawan di bawahnya telah memiliki lebih dari sebuah cawangan.

"Ada di antara mereka telah mampu meraih pendapatan sehingga RM80,000 sebulan. Ini merupakan petanda yang baik dan contoh kepada usahawan baru yang ingin menyertai.

"Gaya bersantai di sambil menikmati kopi semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, saya melihat peluang perniagaan dalam sektor ini sangat besar dan mudah untuk berjaya," jelasnya.

Tambah beliau, Gloria Jeans Coffee kini mengadakan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menghasilkan produk makanan tempatan dalam bentuk sejuk beku untuk menjadi menu baru pada masa depan.

"Gloria Jeans Coffee menggunakan konsep makanan sejuk beku di semua rangkaiannya, oleh itu untuk menghasilkan menu tempatan, kami perlu melakukan kajian agar makanan berkenaan terjamin dari segi kualiti dan rasanya.

"Ketika ini 80 peratus daripada menu kami adalah kopi iaitu merangkumi 52 jenis, manakala selebihnya adalah makanan," ujar Fauzi.

Gloria Jeans Coffee menawarkan rasa yang sungguh enak berikutan menggunakan biji kopi jenis Arabicca yang diperolehi daripada ladang yang terletak 3,000 meter dari paras laut di Indonesia.

No comments: