Monday, August 13, 2012

PNS perkenal francais bergerak

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PNSperkenalfrancaisbergerak/Article/index_html

Published: August 13, 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

PERBADANAN Nasional Bhd (PNS) bercadang memperkenalkan konsep perniagaan francais baru secara bergerak membabitkan penggunaan van atau trak khas yang diubah suai, sekali gus tidak memerlukan peniaga menyewa kedai.

Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, konsep perniagaan itu lebih menjimatkan dan pada masa sama efisien bukan saja kepada peniaga, malah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini kerana bagi peniaga, tidak perlu menyewa kedai, sebaliknya hanya perlu membawa van atau trak khas ke mana-mana kawasan lapang atau parkir yang disediakan PBT dan memulakan perniagaan masing-masing.

“Bagi PBT pula, tidak perlu mengeluarkan belanja membina infrastruktur termasuk kerusi dan meja, sebaliknya ia boleh disediakan peniaga lain pula khusus untuk menyewakan perkakasan itu. Konsep perniagaan seperti ini sudah lama diperkenalkan di negara maju dan ia mampu meminimumkan perbelanjaan serta lebih efisien,” katanya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak antaranya pembuat kenderaan khas terbabit dan pihak yang berminat memulakan konsep perniagaan baru berkenaan.

“Kami akan mula mempromosikan konsep perniagaan ini bermula sekarang. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada pengeluaran lesen perniagaan bergerak oleh PBT.

“Jenis perniagaan pula boleh dipelbagaikan, sama ada makanan ringan, cenderahati atau baju,” katanya.

No comments: