Wednesday, August 22, 2012

Dana PKS RM2.6 bilion

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DanaPKSRM2_6bilion/Article

Published: August 22, 2012

pix_gal0

AIM sasar lahirkan 100,000 usahawan PKS menjelang 2015
Petaling Jaya: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan penyaluran pembiayaan berjumlah RM2.6 bilion tahun depan dalam usahanya melahirkan 100,000 usahawan berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang 2015.

Pengarah Urusan, Datuk Zabidah Ismail, berkata AIM yang diberikan mandat menyalurkan pinjaman kepada usahawan mikro kini menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan serta keyakinan usahawannya bagi meraih pendapatan lebih tinggi.

Katanya, sejak penubuhannya 25 tahun lalu, 50,000 daripada 311,000 peminjam AIM mencapai status usahawan PKS dalam pelbagai bidang perniagaan dengan menjana pendapatan melebihi RM3,500 sebulan.

Sasar pembiayaan meningkat 30 peratus
“Kami menyasarkan pembiayaan berjumlah RM2.6 bilion tahun depan, iaitu peningkatan 30 peratus daripada sasaran RM2.1 bilion tahun ini. Sasaran pinjaman pengeluaran bulanan dijangka lebih tinggi antara RM6,000 hingga RM7,000.

“AIM lebih menumpukan kepada langkah menaik taraf perniagaan usahawan sedia ada dan membantu mereka mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat eksport,” katanya kepada BH di sini, baru-baru ini.

Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), katanya, AIM juga diberi mandat oleh kerajaan untuk melahirkan 4,000 usahawan wanita berpendapatan melebihi RM3,500 sebulan, justeru pinjaman AIM penting sebagai modal pusingan untuk usahawan berkenaan mengembangkan perniagaan mereka.

“Kini, kami berada pada landasan kukuh bagi mencapai sasaran itu sebelum akhir tahun ini kerana ramai usahawan mikro sedar keupayaan mereka dan bersedia bersaing di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Zabidah berkata, RM1.4 bilion daripada RM2.1 bilion pinjaman yang disasarkan tahun ini sudah disalurkan dan yakin ia akan disalurkan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Khidmat dapat sambutan
“Perkhidmatan pembiayaan kami terus mendapat permintaan kukuh terutama usahawan sedia yang mahu mengembangkan perniagaan serta mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan baru seperti teknologi dan berkaitan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, AIM akan secara agresif melaksanakan pelbagai program dan aktiviti keusahawanan yang berasaskan pengetahuan, kemahiran tinggi, inovasi serta pemasaran dengan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM6 juta tahun depan.

Katanya, AIM juga akan meningkatkan jumlah cawangan sedia adanya daripada 122 pada masa ini kepada 133 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

“Dalam usaha meningkatkan capaian AIM, kami akan membuka 10 lagi cawangan baru tahun depan yang ditumpukan di Sabah dan Sarawak selain Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Pada masa ini, AIM menawarkan pembiayaan daripada RM3,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik antara setahun hingga lima tahun, menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.

AIM juga, katanya, mencatatkan kadar bayaran balik sehingga 96.6 peratus, yang mana 80 cawangan mencatatkan bayaran balik 100 peratus.

No comments: