Friday, February 24, 2012

Insentif, faedah baharu - MITI

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Published: on 24 February 2012
Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
bisnes.utusan@gmail.com.

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bercadang menilai semula Akta Promosi Pelaburan 1986 bagi membolehkan syarikat-syarikat tempatan yang sudah beroperasi di negara ini menikmati lebih banyak insentif dan faedah.

Kementerian juga bercadang memperluaskan Elaun Pelaburan Semula (RA) kepada sektor-sektor perkhidmatan terpilih selain meningkatkan kriteria Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kata Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Rebecca dalam taklimat media khas berkata, cadangan merupakan sebahagian daripada usaha yang dijalankan MITI bagi terus membantu pelabur tempatan tumbuh dan berkembang.
Jelasnya, kerajaan menerusi pelbagai kementerian termasuk MITI sentiasa memberi sokongan penuh kepada pertumbuhan pelaburan langsung domestik (DDI) malahan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), disasarkan sejumlah 73 peratus pelaburan datang daripada pelaburan swasta domestik.

"Tidak pernah berlaku diskriminasi di antara DDI dan pelaburan langsung asing (FDI) kerana setiap pelabur adalah penting kepada negara.
''Apa yang berlaku ramai pelabur domestik yang layak tidak mengetahui bahawa mereka berhak menerima insentif ataupun bantuan tertentu, " kata beliau.
Mengulas lanjut Rebecca berkata, kriteria PKS akan ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM2.5 juta bagi membolehkan lebih banyak syarikat menikmati faedah daripada insentif berskala kecil.

" Kami sedang giat berusaha ke arah mempertingkatkan lagi bantuan dari segi insentif, akses pinjaman serta panduan kepada syarikat-syarikat tempatan terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) dan PKS, " katanya.
Katanya, MITI juga merancang untuk meningkatkan program turun padang bagi memberi lebih banyak maklumat mengenai insentif-insentif dan bantuan yang boleh diberikan kepada pelabur tempatan terutamanya di dalam sektor PKS.

Menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan memberi lebih banyak insentif kepada FDI, Rebecca berkata, layanan yang diberikan adalah sama rata namun ia sering disalah tafsir.
Jelasnya, sumbangan DDI terutama sekali di dalam sektor perkhidmatan menunjukkan 74.8 peratus pelaburan diluluskan adalah datang daripada pelaburan domestik.

" Bagi pelaburan diluluskan di sektor pengilangan, DDI mencatat peratusan yang sedikit rendah berbanding pelaburan asing namun jika ia boleh mengekalkan pertumbuhan 21 peratus seperti mana yang direkodkan tahun lalu, ia mampu memintas FDI tidak lama lagi, " ujar beliau lagi.

No comments: