Wednesday, May 8, 2013

Syarikat PKS Terpilih Untuk Anugerah E50 Disaran Sahkan Penyertaan Sebelum 10 Mei

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama)- Syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpilih menyertai program "The Enterprise 50 Awards" (E50) 2013 anjuran SME Corp. Malaysia, digalakkan mengesahkan penyertaan mereka selewat-lewatnya pada 10 Mei ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130508/ek_04/E50-iktiraf-peranan-PKS--sumbang-ekonomi
Published: May 08, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=948178
Published: May 08, 2013


       Hafsah Hashim

SME Corp dalam satu kenyataannya berkata, anugerah E50 ini dianjurkan bagi mengiktiraf penglibatan syarikat-syarikat PKS sebagai antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara.

Diperkenalkan pada 1997, acara tahunan ini memilih dan meletakkan syarikat-syarikat PKS dalam kedudukan 50 teratas.

"Diketuai oleh Deloitte Malaysia, sebuah firma audit dan perundingan, penilaian dilakukan berdasarkan beberapa kriteria seperti kedudukan kewangan, pengendalian syarikat, pemasaran dan pengurusan syarikat," kata agensi kerajaan itu.

Anugerah E50 yang bakal diumumkan pemenangnya pada November ini akan dipilih dan diadili oleh juri bebas dari rakan E50 termasuklah dari Deloitte, RHB, TM Malaysia, Media Prima Bhd, Malaysia SME dan juga persatuan-persatuan yang terlibat dalam pembangunan PKS.

Ketua Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata Anugerah E50 mengiktiraf pemenangnya sebagai salah satu syarikat terbaik di Malaysia dan mampu menembusi pasaran antarabangsa serta menempa masa depan yang lebih gemilang.

"Banyak syarikat telah menggunakan penilaian ini sebagai kad laporan mereka untuk menilai kesediaan mereka untuk disenaraikan di Bursa Malaysia," kata Hafsah.

Menurut beliau, terdapat 43 pemenang E50 yang lalu yang kini telah tersenarai di Bursa Malaysia dan 13 di pasaran ACE, termasuk Top Glove Bhd, pemenang E50 sebanyak 7 kali yang kini merupakan salah sebuah daripada syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.

Sejak 16 tahun penganjurannya, program E50 ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada industri dengan setakat ini, 1,673 syarikat telah mengambil bahagian dan sejumlah 511 buah syarikat menjadi alumni pemenang.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Anugerah E50 2013, orang ramai boleh melayari laman sesawang, http://www.e50.com.my/

-- BERNAMA

No comments: