Wednesday, May 29, 2013

Kerajaan Komited Sepenuhnya Kepada Pembangunan Pembiayaan Harta Intelektual

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan komited sepenuhnya kepada pembangunan pembiayaan harta intelektual (IP) dan kegunaannya sebagai cagaran oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi mengembangkan perniagaan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=952445
Published: May 29, 2013

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Mat Noor Nawi berkata buat permulaan, kerajaan telah memulakan skim pembiayaan IP bernilai RM200 juta, yang akan ditawarkan menerusi Malaysian Debt Ventures Bhd.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan subsidi kadar faedah dua peratus dan jaminan 50 peratus menerusi Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd.

"Ini adalah cara bagi kerajaan untuk membantu PKS dalam meningkatkan peluang untuk membawa mereka ke tahap pengkomersilan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian di pelancaran forum Meja Bulat Penilaian IP dengan Pembiaya, di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Bakarudin Ishak.

Mat Noor berkata sejajar dengan landskap global kerajaan juga komited membangunkan hak IP menjadi satu sumber pewujudan harta baharu, dan meningkatkan rantaian nilai perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Sehubungan itu, kerajaan telah memberi mandat kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk memacu inisiatif penilaian IP, yang ketika ini menumpukan kepada empat bahagian, melatih penilai IP tempatan, penilaian hak IP bagi PKS tempatan yang sesuai, membangunkan model penilaian IP nasional dan mewujudkan platform pasaran IP bagi hak IP untuk diurusniagakan.

"MyIPO telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan model penilaian nasional yang bercirikan 'rakyat Malaysia', sesuai bagi industri dan pembiaya tempatan.

"Perumusan model penilaian IP nasional juga membantu dalam menyokong penerimaan hak IP sebagai cagaran oleh pemberi pinjaman dan pembiaya," kata Mat Noor.

Ketua Pengarah MyIPO Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata hak IP merupakan satu yang penting dalam ekonomi global, dan tidak boleh dipinggirkan, Malaysia perlu menyahut cabaran menjadikan negara satu kuasa berdaya saing dalam pasaran IP sedang pesat membangun.

Beliau berkata organisasi yang bertanggungjawab bagi hak IP di Malaysia, MyIPO telah mewujudkan kesedaran yang diperlukan dalam perlindungan IP dan pembinaan kapasiti dalam kalangan orang awam serta pemegang kepentingan.

"Kami sentiasa membantu PKS membangunkan IP mereka menjadi satu sumber pewujudan harta baharu. Mereka mempunyai pilihan menggunakan hak IP untuk menambah baik kelebihan daya saing mereka, menjana pendapatan dan menambah baik akses kepada pembiayaan," katanya.

Azizan Mohamad berkata selain membangunkan model penilaian IP dan pasaran IP, MyIPO juga mengambil pendekatan proaktif menyemak semula undang-undang IP sedia ada bagi menyediakan kepada permintaan ekonomi IP yang sentiasa berubah-ubah, di samping memastikan penyelarasan dengan perjanjian antarabangsa.

Forum Meja Bulat Penilaian IP dengan Pembiaya yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia dan MyIPO.

Ia mengumpulkan kira-kira 100 peserta daripada institusi kewangan tempatan untuk berkongsi dan membincangkan inisiatif penilaian IP nasional ke arah mewujudkan bahagian pasaran yang diperlukan bagi entiti kewangan.

-- BERNAMA

No comments: