Wednesday, May 15, 2013

Persatuan Kontraktor Melayu Harap Wujudkan Semula Kementerian Pembangunan Usahawan

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=949559
Published: May 15, 2013

Yang Dipertua PKMM Datuk Jamaludin Abdul Rahim berkata Kementerian Pembangunan Usahawan merupakan satu organisasi penting untuk melahirkan usahawan dalam kalangan generasi muda serta membantu kontraktor dan usahawan Bumiputera tulen melalui agensinya.

Beliau berkata persatuan itu juga berharap seorang pemimpin yang tegas dipilih untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan keadaan masa kini yang dilihat amat berbahaya dan mencabar.

"Kabinet baharu mesti terdiri daripada mereka yang tegas, terdiri daripada gabungan muka lama dan baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis doa selamat dan Tahlil sempena projek pembangunan bercampur PKMM Perak di Meru Raya di sini Selasa.

Katanya barisan kabinet baharu itu juga diharap dapat mengurangkan lagi kerenah birokrasi yang didakwa dilakukan oleh pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa terutama berhubung pemberian kontrak kerajaan.

Beliau berkata Perdana Menteri juga diharap memberi sedikit kelebihan kepada anggota parlimen Sarawak dan Sabah untuk menganggotai barisan kabinet baharu.

Ini kerana Sarawak dan Sabah merupakan antara penyumbang majoriti kerusi Parlimen dan membantu Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas, katanya.

Jamaludin yang juga Setiausaha Agung PKMM berkata Sarawak dan Sabah menyumbang 47 daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU13.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara di ibu negara pada 12 tengah hari esok bagi mendapat perkenan terhadap cadangan pelantikan barisan kabinet baharu.

-- BERNAMA

No comments: