Thursday, May 16, 2013

Media Prima platform terbaik: PUMM

Kuala Lumpur: Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) yang mewakili kira-kira 2,000 usahawan melihat Media Prima Bhd sebagai saluran media terbaik baginya untuk meningkatkan bilangan keahlian untuk merangkumi pelbagai kaum.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MediaPrimaplatformterbaik_PUMM/Article
Published: May 16, 2013

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Salurmaklumatpantas/Article/index_html
Published: May 16, 2013

Media Prima platform terbaik: PUMM
How (kiri) menerima cenderahati daripada Johan 
sempena makan tenghari bersama Persatuan 
Usahawan Maju Malaysia (PUMM) dan Media 
Prima di Kuala Lumpur

Presidennya, Datuk Dr How Kok Choong, berkata ketika ini, 80 peratus daripada ahlinya terdiri daripada usahawan Cina dan secara agresif meningkatkan bilangan ahli dengan menarik penyertaan usahawan kecil dan sederhana Bumiputera serta India. Katanya, PUMM yang ditubuhkan pada 1993 juga mahu memanfaatkan platform milik kumpulan media terbesar negara itu dalam usaha meningkatkan lagi peranannya yang mewakili majoriti usahawan muda.

“Selain penganjuran seminar dan konvensyen, kami mahu menyebarkan maklumat dan peluang perniagaan serta kemudahan yang ditawarkan menerusi saluran media cetak dan elektronik, dan kami melihat Media Prima adalah saluran terbaik bagi kerjasama kami pada masa depan,” katanya selepas majlis makan tengah hari korporat yang anjuran Media Prima di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar; Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Amrin Awaluddin dan Ketua Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd, Mohamad Azlan Abdullah.

Majlis makan tengah hari itu diadakan bagi mengukuhkan lagi hubungan erat antara pengurusan kanan kedua-dua organisasi itu serta membincangkan hala tuju kerjasama strategik yang boleh dijalin pada masa akan datang.

How berkata, pertubuhan itu sudah bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha meningkatkan pembangunan perniagaan dan ekonomi negara terutama dalam kalangan usahawan muda. “PUMM juga sudah membantu ramai usahawan muda untuk merealisasikan matlamat perniagaan mereka menerusi pelbagai pendekatan termasuk forum, lawatan perniagaan dan bengkel dan memainkan peranan penting menyumbang pembangunan ekonomi negara,” katanya sambil menambah PUMM merancang menambah kira-kira 100 ahli baru tahun ini.

Sementara itu, Johan dalam ucapannya, berkata Media Prima terus menerajui industri media tempatan kerana keupayaannya menyediakan penyelesaian media terbaik yang memenuhi keperluan pelanggannya.

Beliau berkata, konglomerat media itu bukan saja mahu dikenali sebagai syarikat yang kukuh dari segi operasi tetapi terus menjadi jenama media unggul yang menjadi pilihan dalam kalangan pelanggan.

Katanya, Media Prima juga mahu menerajui keseluruhan platform media yang diceburinya sama ada televisyen, radio, media cetak, pengiklanan serta media dalam talian menerusi kempen pemasaran yang bersepadu.

“Media Prima menerajui industri media tempatan dan satu daripada titik jualan kami yang unik ialah keupayaan untuk menyediakan penyelesaian media yang mampu memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan.

“Bagi kami, kandungan dan kualiti adalah keutamaan paling penting yang perlu diambil kira dalam memastikan kelangsungan syarikat. Kandungan yang dihasilkan oleh Media Prima diiktiraf di peringkat tempatan dan luar negara kerana kelebihan ini,” katanya.

No comments: