Sunday, May 26, 2013

Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Sedia Bantuan RM50 Juta Di bawah Skim GMBO

HULU TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyediakan peruntukan RM50 juta bagi melaksanakan program pembangunan usahawan menerusi penggunaan Internet di bawah skim Bantuan Perniagaan Dalam Talian Malaysia (GMBO).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=952002
Published: May 26, 2013

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata kemudahan bantuan itu dikhususkan untuk golongan wanita berumur 18 hingga 65 tahun dan sudah mempunyai produk perniagaan sendiri.

"Mereka yang mempunyai produk perniagaan sendiri akan diberi bantuan sebanyak RM1,000 seorang untuk sekali sahaja.

"Bantuan itu yang dibuka sejak 1 Jan lepas hingga 31 Dis ini, merupakan sebahagian daripada peruntukan yang disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2013 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Peladang Kawasan Manir/Belara di sini hari ini.

Jailani berkata walaupun skim GMBO itu dibuka pada Januari lepas, masih ramai usahawan kecil wanita di seluruh negara tidak mengetahui mengenai kemudahan bantuan berkenaan yang disediakan suruhanjaya itu.

Beliau berkata setakat ini hanya kira-kira RM20,000 bantuan GMBO telah disalurkan kepada pemohon.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu, berkata pemohon boleh melayari laman web gmbo.skmm.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim itu dan borang boleh diisi terus secara dalam talian.

Beliau berkata antara syarat yang membolehkan usahawan wanita memohon bantuan itu ialah mereka menjalankan perniagaan dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM200,000, dan terbuka kepada sebarang bentuk produk yang diniagakan.

Katanya bantuan itu disediakan sebagai galakan kepada usahawan wanita supaya meluaskan produk perniagaan mereka menerusi Internet.

Beliau berkata kerajaan mahu melihat peniagaan yang mereka jalankan bukan setakat mengekalkan hubungan dengan rakan niaga secara konvensional, malah mahu melihat penggunaan Internet dijadikan antara saluran yang boleh dimanfaatkan secara positif dalam meluaskan rangkaian perniagaan.

-- BERNAMA 

No comments: