Friday, May 10, 2013

Kementerian untuk usahawan perlu diwujudkan

KUALA LUMPUR 9 Mei - Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) menegaskan kerajaan perlu mewujudkan kembali Kementerian Pembangunan Usahawan bagi menjaga kepentingan usahawan bumiputera.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130510/ek_04/Kementerian-untuk-usahawan-perlu-diwujudkan
Published: May 10, 2013



Presidennya, Datuk Ab. Rahim Abu Bakar (gambar) berkata, kuota pembabitan syarikat bumiputera dalam syarikat milik kerajaan (GLC) juga harus dikekal dan ditingkatkan bagi menjaga daya saing.

Tegas beliau, polisi untuk membantu ekonomi usahawan bumiputera perlu diperkasakan dan modul yang ada sekarang ini harus dikaji semula dan diberi penambahbaikan.

"Sudah empat tahun polisi yang diperkenalkan bagi menjaga hati peniaga Cina sehingga menyebabkan usahawan bumiputera terpinggir dan kembali ke belakang.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini perlu sedar dan bertegas membantu usahawan bumiputera yang tetap memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun dalam keadaan tersepit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang menyaksikan undi kaum Cina begitu rendah meskipun kerajaan BN telah mengambil pelbagai inisiatif menjaga kepentingan mereka.

Menurut Ab. Rahim, masyarakat usahawan bumiputera memerlukan pembelaan kerajaan kerana blok ekonomi peniaga Cina terlalu besar sehingga menguasai hampir keseluruhan rangkaian tersebut.

Katanya lagi, berbanding usahawan bumiputera, peniaga Cina tidak perlu melakukan begitu banyak pemasaran kerana telah menguasai pengeluaran bahan-bahan mentah.

Beliau memberitahu, perkara yang dikesalkan ketika ini ialah sentimen dan polisi beberapa agensi kerajaan serta GLC yang mula menutup ruang kepada syarikat bumiputera.

"Bagi saya, pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan adalah satu kesilapan dan kerajaan perlu mengkaji balik polisi ekonomi untuk membantu lebih banyak ahli perniagaan bumiputera," katanya.

No comments: