Tuesday, May 21, 2013

12 usahawan jana pendapatan RM2j setahun

PASIR PUTEH 20 Mei - Seramai 12 usahawan bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kelantan berjaya menjana pendapatan sehingga RM2 juta setahun hasil kegigihan, penghasilan produk bermutu dan pelan strategik pemasaran yang tepat.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130521/wt_02/12-usahawan-jana-pendapatan-RM2j-setahun
Published: May 21, 2013

Pengarah MARDI Kelantan, Aminah Abdullah berkata, pihaknya turut memberi bimbingan khusus kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berpendapatan lebih RM250,000 setahun bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan mereka.

Beliau berkata, bimbingan itu termasuk mendedahkan mereka dengan penggunaan mesin dan teknologi terkini bagi meningkatkan pengeluaran hasil, standard pelabelan dan pembungkusan yang mampu menarik minat pelanggan serta strategi pemasaran ke peringkat global.

"Pada masa yang sama MARDI turut memberi fokus utama membantu golongan miskin tegar melaksanakan projek-projek ekonomi supaya mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Sepanjang tahun lalu seramai 90 penduduk miskin yang disenaraikan dalam e-Kasih di negeri ini berjaya dibantu mengikut kesesuaian dan keperluan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan pertanian kepada penduduk miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan semalam.

Antara penerima ialah Wan Seman Wan Musa, 63, yang mengambil upah memetik buah kelapa lebih 40 tahun lalu. Dia diberi bantuan sebuah basikal, seekor beruk terlatih dan peralatan mengopek buah kelapa.

Aminah berkata, bantuan yang diberikan kepada Wan Seman membolehkannya melaksanakan kerja harian memetik buah kelapa tanpa perlu memanjat pokok kelapa.

"Harga seekor beruk terlatih mencapai lebih RM1,000 dan pasti mampu membantu penduduk terbabit memetik buah kelapa dengan lebih pantas," katanya.

Beliau berkata, selain bantuan peralatan, penerima bantuan MARDI juga diberikan khidmat nasihat dan latihan berkaitan secara berperingkat.

Menurutnya, MARDI juga melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan penerima bantuan berjaya melaksanakan projek pertanian yang mereka usahakan sehingga mampu berdikari.

Aminah berkata, MARDI turut membantu usahawan IKS yang berdaya maju di negeri ini bagi menghasilkan makanan halal untuk dieksport dengan memastikan pakej pelabelan dan pembungkusan menepati piawaian antarabangsa.

No comments: