Thursday, April 11, 2013

Wanita mampu kuasai PKS

SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan jumlah usahawan wanita di negara ini meningkat kepada 30 peratus menjelang 2020. Pada 2011, jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki wanita di Malaysia adalah 19.7 peratus daripada 645,000 syarikat dalam kategori itu berbanding 16 peratus pada 2005.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/wanita-mampu-kuasai-pks-1.148765
Published: April 11, 2013

Wanita mampu kuasai PKS
Hafsah semasa perasmian Program Jaringan Sinergi Usahawan 
Wanita 2013 anjuran SME Corp di Selangor, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim berkata, beliau yakin sasaran itu boleh dicapai terutama jika lebih ramai usahawan wanita kecil-kecilan mendaftarkan perniagaan mereka secara rasmi.

“Kadar 19.7 peratus ini tidak termasuk ramai lagi usahawan wanita di sektor tidak rasmi, iaitu mereka yang memiliki lesen perniagaan, tetapi tidak mendaftarkan syarikat.

“Kami harap lebih ramai wanita mendaftar perniagaan kerana jika tidak, kami tak boleh bantu dan tak boleh beri pembiayaan kerana mereka tidak ada dalam data kami,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Program Jaringan Sinergi Usahawan Wanita 2013 di Subang Jaya, semalam.

Jabatan Statistik Malaysia menganggarkan 31 peratus usahawan di Malaysia tidak berdaftar terutama perniagaan mikro berbanding 14 peratus di Singapura dan sembilan peratus di Amerika Syarikat.

Hafsah berkata, SME Corp menyasarkan peratusan itu akan menurun sehingga 14 peratus dalam tempoh tujuh tahun lagi.

“Kami sedar ada usahawan mikro yang mungkin tidak mahu mendaftar syarikat kerana isu cukai dan sebagainya, jadi kami mahu mendidik usahawan dalam isu ini,” katanya semasa ditanya mengenai perkara itu.

Sementara itu, Program Jaringan Sinergi Usahawan Wanita 2013 tersebut diadakan bagi menyediakan platform kepada usahawan wanita untuk menjalinkan jaringan perniagaan serta mempelajari amalan terbaik perniagaan melalui sesi perkongsian pengalaman dengan tokoh usahawan dan syarikat berjaya.

Hafsah dalam ucapannya berkata, wanita mempunyai sifat semula jadi seperti fokus dan komitmen tinggi yang membolehkan mereka menguruskan syarikat dengan baik.

“Saya ada berjumpa wakil syarikat besar antarabangsa dan memang mereka sendiri yang akui kalau ada wanita dilantik dalam lembaga pengarah atau memegang jawatan dalam pengurusan, pertumbuhan syarikat akan menjadi lebih baik,” katanya.

Sejak 2004, industri PKS di Malaysia mencatatkan pertumbuhan melebihi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar setiap tahun dan pada masa ini menyumbang 32 peratus kepada pendapatan negara.

No comments: