Tuesday, April 23, 2013

Internet bantu revolusi PKS

KEPENTINGAN penggunaan internet pada hari ini sememangnya tidak dapat dinafikan kepada setiap individu dan syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Perkembangan ekonomi di Asia juga menyaksikan pertumbuhan PKS yang pesat dan peluang lebih besar untuk terus membangun berbanding rakan niaga lain walaupun di negara Barat yang paling maju.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/internet-bantu-revolusi-pks-1.152914
Published: April 23, 2013

Internet bantu revolusi PKS
Karim berkongsi pendapat beliau mengenai internet dan PKS 
semasa sidang media antarabangsa Google di Singapura, baru-baru ini.

Kemajuan internet dilihat antara faktor utama yang membantu revolusi PKS di rantau ini, di mana kepintaran idea adalah penting dalam meningkatkan lagi perniagaan dan meluaskan capaian pengguna.

Menurut Presiden Google Asia Pasifik, Karim Temsamani, Asia adalah rantau paling menarik di dunia dari sudut pertumbuhan ekonomi dan kini adalah waktu paling sesuai untuk syarikat gergasi internet itu bersama-sama menjadi sebahagian daripada pertumbuhan PKS.

“Untuk memulakan perniagaan pada 10 atau 15 tahun lalu adalah amat sukar dan menelan perbelanjaan yang tinggi terutamanya untuk mendapatkan capaian pelanggan.

“Tetapi hari ini dengan bantuan internet, pengusaha PKS boleh mendapatkan pelanggan dari serata dunia dengan cara lebih efisien tanpa menggunakan kos yang tinggi berbanding dulu,” katanya di sidang media antarabangsa Helping Small Business Think Big di ibu pejabat Google Singapura, baru-baru ini.

Menurutnya, Google Asia Pasifik yang merekodkan pertumbuhan memberangsangkan kini sedang mengintai peluang pelaburan infrastruktur untuk mendidik dan membantu pertumbuhan perniagaan PKS bukan sahaja dalam negara malah dari perspektif pengeksportan.

“Melalui internet, PKS kini boleh meluaskan skop pelanggan di mana iklan berbentuk teks, video ataupun iklan mudah alih yang disiarkan boleh dilihat oleh kira-kira 2.5 bilion orang, berbanding kempen pemasaran asas yang dilakukan 10 tahun lalu.

“Inovasi internet bukan sahaja pada gajet dan aplikasi, tetapi juga pada inovasi yang turut boleh dirasai setiap pihak termasuk PKS. Malah, penyelesaian internet bersepadu juga boleh mempercepatkan produktiviti sesebuah PKS,” katanya.

Selain internet, Karim juga menekankan kepentingan mudah alih kerana dunia hari ini bergerak pantas menuju ke arah itu.

"Bagaimanapun, Google Asia Pasifik akan sentiasa bekerjasama dengan media cetak bagi membangunkan lagi PKS memandangkan media tradisional ini tetap mempunyai populasi pembacanya yang tersendiri," katanya.

No comments: