Friday, April 26, 2013

Labur dana RM40j - PNS

Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) memperuntukkan dana RM40 juta untuk dilaburkan ke dalam syarikat francais berdaya saing menerusi pembelian ekuiti bagi meningkatkan nilai aset perniagaannya, sekali gus dapat membantu membangunkan industri berkenaan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LaburdanaRM40j/Article/index_html
Published: April 26, 2013

Syarikat berkenaan yang kini masih di dalam proses perbincangan dan masih belum dapat diumumkan keputusan muktamadnya, tetapi dijangka membabitkan syarikat tempatan dalam sektor makanan dan minuman serta perkhidmatan.

Pengarah Urusannya Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, pelaburan di dalam syarikat berkenaan salah satu strategi yang dilaksanakan PNS bagi menambah dana pembiayaan kepada usahawan francais di negara ini.

Beliau berkata, setakat Januari lalu PNS membuat pelaburan di dalam 12 syarikat tempatan antaranya Alpha Precision Turning & Engineering Sdn Bhd, Tatt Giap Group Bhd, Focus Point Holdings Bhd dan IRIS Corporation Bhd.

“Pelaburan di dalam syarikat berdaya saing satu daripada cabang perniagaan yang dilaksanakan PNS bagi menjana pendapatan perbadanan selain dalam bidang hartanah, makanan dan minuman serta pembiayaan.

“Ini sejajar dengan usaha kami bagi membantu usahawan di dalam bidang francais terus mendapat bantuan untuk memperluaskan perniagaan mereka dan sekali gus membantu menjadikan negara berstatus maju pada masa depan,” katanya.

Di dalam tiga segmen perniagaan yang dijalankan PNS, pembiayaan menyumbang hanya 30 peratus berbanding pelaburan dan hartanah kepada pihaknya.

Menurutnya, dalam bidang hartanah pihaknya membuat pelaburan di dalam beberapa projek pembangunan komersial terdiri daripada pusat perniagaan, peruncitan dan pasar raya untuk disewakan kepada orang awam. “Sebagai langkah untuk membantu usahawan francais RM10 juta diperuntukkan bagi pelaburan hartanah dalam bentuk tanah kosong dan kedai yang dibeli boleh disewa kepada mereka menerusi konsep sewa beli,” katanya.

No comments: