Wednesday, August 29, 2012

Ramai Pengusaha Produk Ikan Dilahirkan Melalui 'Test Bed' Mardi Di Terengganu

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=690434

Published: August 29, 2012

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Terengganu yakin dapat melahirkan lebih ramai pengusaha produk berasaskan ikan untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa melalui kemudahan makmal 'test bed'.

'Test bed' merupakan makmal teknologi pemprosesan makanan berasaskan ikan yang dilengkapi peralatan canggih serta bilik sejuk beku untuk melicinkan pengeluaran beberapa jenis produk makanan terpilih.

Pengarahnya Hassan Said berkata makmal 'test bed' Mardi di Kuala Terengganu kini mengeluarkan produk satar, otak-otak, keropok lekor, keropok keping dan nuget ikan oleh usahawan tempatan.

"Ada usahawan yang sedang dalam peringkat perbincangan akhir membekalkan produk ke sebuah pasar raya di bandar ini dan ia satu kejayaan kerana dapat mengeluarkan kapasiti produk berskala besar melalui penggunaan mesin berteknologi tinggi," katanya ketika ditemui Bernama di sini Selasa.

Buat masa ini, Mardi mempunyai sembilan makmal 'test bed' di seluruh negara dengan makmal di Kuala Terengganu dan Sabah memfokuskan kepada pengeluaran produk berasaskan ikan.

-- BERNAMA

No comments: