Sunday, August 26, 2012

Rezeki usahawan muda perolehi projek RM 1.4 juta

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/rezeki-usahawan-muda-perolehi-projek-rm-1-4-juta-1.78378

Published: August 26, 2012

Rezeki usahawan muda oerolehi projek RM 1.4 juta
Muhandis(dua dari kiri) mesra bersama pekerjanya

Bukan mudah untuk mengalas jawatan sebagai seorang pengarah syarikat di usia muda. Namun, itulah yang dilakukan oleh Muhammad Muhadis Ahmad Fatahi, 20, yang berjaya mendapat projek infrastruktur jalan raya bernilai RM1.4 juta secara tender terbuka, baru-baru ini.

Mengalir air mata si anak muda ini setelah diumumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya mendapat projek tersebut. Dia yang tidak menyangka mendapat tawaran tersebut lantas memeluk dan bersalam bersama ayahnya yang banyak memberi tunjuk ajar.

Sebagai seorang anak muda yang masih mentah untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, dia tidak teragak-agak dan bersedia untuk menyahut segala cabaran untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Syarikat United Charisma Sdn Bhd.

Katanya, dia mula berkecimpung dalam bidang pembinaan seawal umur lima tahun ketika sering kali mengikuti ayahnya ke tapak pembinaan. Dia yang masih keanak-anakan ketika itu turut tidak melepaskan peluang untuk membantu ayahnya mengangkat barang pembinaan.

“Saya mula meminati bidang ini sejak ikut ayah ke tapak pembinaan. Ketika itu, saya kagum melihat pelbagai mesin yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan.

“Masakan tidaknya, ketika itu jarang sekali melihat mesin yang canggih dan mampu menghasilkan pelbagai konkrit.

Sejak itu, saya bercita-cita untuk menjadi seorang kontraktor yang berjaya seperti ayah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dia yang kini masih belajar di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, Kedah, dalam bidang Diploma kejuruteraan awam berkata, tanpa ayahnya dia tidak akan mendapat kejayaan pada hari ini.

Muhadis berkata, sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus mendapatkan restu daripada ibu bapa terlebih dahulu untuk melakukan sebarang pekerjaan.

Katanya, restu dan doa ibu bapa amat penting sekiranya seseorang itu mahu berjaya dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Tanpa restu, kejayaan tidak akan datang.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah peribahasa yang dapat dikatakan terhadap seorang anak muda yang mendapat projek infrastruktur jalan raya yang menghubungkan Grik dan Kupang sejauh 1.8 kilometer.

Dia adalah anak Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Ahmad Fatahi Omar yang bergiat dalam perniagaan sejak berpuluh tahun lamanya.

Katanya, syarikat yang disandangnya sebagai pengarah ditubuhkan ayahnya pada 1996. Kini sudah tiba masanya dia mengambil alih dan mengusahakan syarikat tersebut.

Muhadis berkata, cabaran dan dugaan sentiasa mendatang. Namun, kita harus memikirkan cara penyelesaian bijak demi kejayaan perniagaan diusahakannya.

“Bukan mudah untuk seorang Bumiputera berkecimpung dalam bidang perniagaan kerana saingannya dengan bangsa asing sangat tinggi. Kejayaan mendapatkan tender juga bukan mudah.

“Saya tidak menyangka akan mendapat tender projek tersebut. Ayahlah yang banyak memberi tunjuk ajar dan panduan.

“Sekiranya mahu berjaya, kita harus  meniru cara bangsa asing berusaha dan berniaga,” katanya.
Pesan ayah, sekiranya mahu mendapatkan sesuatu, kita harus menawarkan harga yang berpatutan dan berkualiti. Kualiti amat penting, tanpa kualiti sesuatu projek atau pembinaan tidak akan  sempurna.

Sekiranya punyai rezeki pada masa hadapan, saya impikan dapat menjejak kaki  sekali lagi ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji selepas melaksanakan ibadah umrah pada tahun 2009 yang lalu bersama keluarga.

Perancangan tahun ini, saya mensasarkan untuk mendapat dua projek tambahan sebagai permulaan memegang jawatan Pengarah di syarikat United Charisma Sdn Bhd.

Terkini, Muhadis telah mendapat satu lagi projek baharu untuk mengecat bangunan Tabung Haji di Kodiang bernilai RM20,000.

“Perasaan ibu bapa ketika itu tidak dapat digambarkan betapa gembiranya mereka setelah mendengar anaknya peroleh kejayaan sedemikian.

“Keluarga juga berpesan, sekiranya punyai sebarang masalah harus luahkan dan berbincang bersama. Jangan pendam dalam hati seorang diri kerana khuatir menjejaskan pekerjaan dan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, ayahnya, Ahmad Fatahi Omar berkata, sekiranya mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan, seseorang itu harus mempunyai disiplin yang tinggi.

Katanya, selain itu, ilmu di dada juga harus mencukupi sebelum berurusan bersama orang ramai di luar terutama di peringkat atasan kerajaan.

Ahmad Fatahi berkata, bukan senang orang Bumiputera mahu jalankan perniagaan seperti ini. Mereka harus meniru cara bangsa asing menjalankan urus niaga

No comments: