Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120830/ek_05/Cadang-turunkan-cukai-korporat
Published: August 30, 2012, 2012
Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN
ekonomi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia
(ACCCIM) mengharapkan cukai korporat diturunkan kepada 22 peratus
berbanding 25 peratus pada pembentangan Bajet 2013 September ini.
Presidennya, Datuk Lim Kok Cheong berkata, secara relatifnya cukai
korporat di negara ini masih tinggi berbanding negara-negara jiran.
Jelas Kok Cheong, sekiranya kadar baharu diperkenalkan, ia bakal
membantu menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia di samping
menggalakkan pelaburan semula oleh pelabur tempatan.
Cukai korporat di Malaysia terlalu tinggi.
Kami mengharapkan kerajaan menurunkan cukai korporat secara
beransur-ansur, mungkin 22 peratus pada Bajet 2013 dan 17 peratus untuk
jangka masa panjang," katanya pada sidang akhbar mengumumkan hasil kaji
selidik berhubung situasi ekonomi di Malaysia pada separuh pertama 2012,
di sini hari ini.
Selain cukai korporat, ACCCIM turut meminta kerajaan melihat kadar
standard bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang seharusnya
bermula dari kadar terendah yang paling munasabah.
Malah persatuan itu juga menggesa kerajaan untuk mereka dan
mengumumkan jadual pelaksanaan GST serta memberi tempoh
sekurang-kurangnya 18 bulan bagi membolehkan para usahawan dan ahli
perniagaan membuat persiapan dan menyertai latihan yang sepatutnya.
Ini merupakan perkara penting untuk memastikan kos melaksanakan perniagaan tidak akan meningkat," ujarnya lagi.
Menurut Kok Cheong, menerusi kaji selidik yang dijalankan persatuan
tersebut, ahli-ahli perniagaan tempatan amat rungsing dengan peningkatan
kos perniagaan terutama kos operasi dan bahan mentah.
Tambahan pula dengan peningkatan satu peratus sumbangan Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bergaji RM5,000 dan ke bawah serta
pelaksanaan gaji minimum yang didakwa bakal menjejaskan prestasi
perniagaan terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Hasil kaji selidik tersebut mengunjurkan prestasi ekonomi bakal lembap pada tahun ini sehinggalah pada 2013.
Namun ia optimis petunjuk positif bakal muncul pada 2014.
No comments:
Post a Comment