Published: August 02, 2012
Oleh Zuraidah Mohamed
Penggunaan e-dagang mampu kembang perniagaan
Kuala Lumpur: Industri e-dagang tempatan menawarkan potensi besar kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan jumlah pengguna Internet yang besar.
Sasaran ini dipacu oleh kadar penembusan internet dan rangkaian yang lebih baik, kos pemilikan teknologi mudah alih yang lebih murah serta tahap kesedaran lebih tinggi di kalangan peniaga”. - Dzulkifli Mahmud, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Eksport MatradeSusulan itu, syarikat termasuk perniagaan mikro perlu memanfaatkan peluang itu dengan membangunkan laman web perniagaan masing-masing bagi mengembangkan perniagaan, kata Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Eksportnya, Datuk Dzulkifli Mahmud.
Kini, katanya, bilangan syarikat yang mempunyai laman web masih lagi kecil kerana hanya 100,000 daripada lebih 700,000 syarikat PKS di negara ini yang mempunyai laman web.
“JP Morgan menganggarkan pendapatan e-dagang global mencecah AS$963 bilion tahun ini. Tinjauan positif ini bertepatan dengan potensi yang boleh diraih oleh syarikat tempatan bagi meningkatkan dan mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Pengguna internet meningkat
“Kami percaya jumlah pengguna internet di negara ini akan terus meningkat disokong inovasi dalam teknologi dalam taliannya yang akan mengubah landskap hubungan pembeli dan penjual,” katanya pada sidang media selepas perasmian seminar Get Malaysian Business Online di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, Matrade mensasarkan peningkatan 15 peratus syarikat PKS yang berdaftar dalam talian menjelang akhir tahun ini.
“Sasaran ini dipacu oleh kadar penembusan internet dan rangkaian yang lebih baik, kos pemilikan teknologi mudah alih yang lebih murah serta tahap kesedaran lebih tinggi di kalangan peniaga,” katanya.
Dalam pada itu, katanya syarikat tempatan yang mahu menembusi pasaran eksport juga perlu mendaftar dengan Matrade bagi mendapatkan akses secara langsung kepada maklumat pasaran terkini, petunjuk dagangan serta program dan aktiviti perdagangan yang dianjurkan.
Katanya, bagi syarikat yang sudah mendaftar, MATRADE menggalakkan mereka untuk mengemaskini profil mereka dalam pendaftaran pengeksport menerusi laman web agensi bagi membolehkan mereka dibantu mengembangkan perniagaan.
No comments:
Post a Comment