Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/manisan-dan-dodol-daun-palas-tembusi-pasaran-luar-terengganu-1.74346
Published: August 09, 2012
MARANG - Manis Sokmo Enterprise yang terkenal dalam pembuatan dodol daun
palas dan penghasilan gula Melaka di Terengganu akan memperluaskan lagi
pemasaran produk berkenaan di luar negeri itu.
Pemiliknya, Mohd Khani Habsu berkata, pada peringkat permulaan,
syarikatnya telah menghantar kira-kira 10,000 paket dodol daun palas ke
beberapa pasaraya di Kuala Lumpur pada awal Ramadan lepas sebagai
pasaran baru sekali gus dapat memperkenalkan produk
berkenaan.
"Buat peringkat permulaan, kami telah menghantar dodol daun palas untuk
peringkat percubaan dalam usaha memperkenalkan produk kami dan sambutan
amat menggalakkan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Gula Melaka atau lebih dikenali sebagai manisan di kalangan penduduk
Pantai Timur merupakan antara bahan penting dalam penyediaan kuih-muih
tradisional seperti ondeh-ondeh, puteri mandi dan lompat tikam.
Menurut Mohd Khani, apabila tiba bulan Ramadan syarikatnya "tidak
menang tangan" untuk memenuhi permintaan yang meningkat secara mendadak
dari penjual makanan dan kuih-muih untuk mendapatkan manisan yang
dikenali sebagai "nisang" di negeri ini.
"Pada bulan puasa, permintaan mendapatkan "nisang" meningkat berlipat
ganda dari 100 keping sehari kepada 1,500 sehingga 2,000 keping sehari."
"Selain bulan Ramadan, permintaan terhadap manisan tersebut juga
mendapat sambutan pada setiap kali tiba musim perayaan mahu pun musim
cuti sekolah," katanya lagi.
Bagi menampung permintaan yang semakin hari semakin meningkat, beliau
berkata beliau telah membina satu lagi tempat untuk memproses manisan
dan dodol daun palas di Kampung Batu Putih, Marang.
Katanya tempat pemprosesan itu hampir 80 peratus siap dan dijangka mulai beroperasi selepas Aidilfitri ini.
Beliau, yang mengusahakan perusahaan itu bersama isterinya di Kampung
Batangan di sini sejak tujuh tahun lalu, telah berjaya mendapat
pengiktirafan sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
(JHEAT) dua tahun lepas.- Bernama
No comments:
Post a Comment