Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/batik-tiruan-jejaskan-industri-batik-asli-terengganu-1.74660
Published: August 09, 2012
KUALA TERENGGANU - Lambakan batik tiruan dari beberapa negara luar mula
menampakkan kesan kepada pengusaha batik asli di negeri ini yang
mendakwa pendapatan mereka semakin terjejas.
Harga yang jauh lebih murah selain kelihatan hampir sama dengan batik
asli menyebabkan ramai pengguna memilih batik tiruan, manakala bagi yang
jahil seni batik pula terpedaya menganggap batik tiruan sebagai produk
asli.
"Saya sedih dengan keadaan ini kerana ia akhirnya merosakkan industri
batik yang menjadi ikon kepada negeri Terengganu dan sebolehnya kami
mahu memelihara batik negeri ini," kata seorang pengusaha Wan Ruzima Wan
Abdullah kepada Bernama hari ini.
Katanya persaingan semakin dirasai sejak setahun lalu apabila ramai
pelanggan datang ke premisnya bertanyakan batik harga murah dan berlalu
pergi apabila dimaklumkan harga produk asli.
"Batik asli paling murah harganya RM80 dan boleh mencecah RM450,
manakala batik tiruan harganya jauh lebih rendah. Lebih buruk lagi
apabila pada pandangan mata kasar batik tiruan itu kelihatan sama dengan
produk asli," katanya.
Beliau menjelaskan batik tiruan dapat dijual pada harga murah kerana
diperbuat daripada kain jenis poliester selain coraknya dicetak
menggunakan mesin, sedangkan batik asli menggunakan kain bermutu tinggi
dan dilukis tangan.
Wan Ruzima, 44, juga mendakwa lambakan batik tiruan terutama dari China
dan Indonesia itu dilakukan segelintir peniaga tempatan yang mahu
mengambil kesempatan daripada imej Terengganu sebagai antara pengeluar
batik terbaik.
Seorang lagi pengusaha batik, Wan Noordiran Wan Long, 44, berkata
mereka kini hanya bergantung kepada pelancong sebagai pelanggan terutama
ketika cuti sekolah.
"Harga batik bergantung kepada jenis kain dan bahan asas yang
digunakan, bagi batik asli kami menggunakan kain putih yang lebih
berkualiti seperti kain kapas dan juga sutera yang diimport dari luar.
"Kami sebagai pengusaha batik sebolehnya mahu menjaga material batik
yang dihasilkan dan tidak mahu pelanggan terus tertipu dengan batik
tiruan," katanya.
Beliau juga mendakwa ada agensi kerajaan yang membatalkan hasrat menempah batik asli dan bertukar kepada batik tiruan.
"Jika boleh kami meminta pihak kerajaan negeri dapat melihat dan
membantu para pengusaha batik bagi memelihara seni warisan ini,"
katanya.
Bagi membezakan batik asli dan tiruan, Persatuan Pengusaha-pengusaha
Batik Terengganu merancang meletakkan logo pada setiap produk asli dan
sedang menunggu kelulusan Yayasan Pembangunan Usahawan untuk berbuat
demikian. - Bernama
No comments:
Post a Comment