Thursday, August 30, 2012

Keunikan Pusat Kraftangan Sabah

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20120830/wb_01/Keunikan-Pusat-Kraftangan-Sabah

Published: August 30, 2012, 2012
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my

Dua pengunjung bergambar kenangan bersama lukisan batik yang 
dipotretkan wajah Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah 
Mansor di Pusat Kraftangan Sabah, baru-baru ini.

KENINGAU 29 Ogos - Keikhlasan kerajaan memperjuangkan nasib golongan usahawan dan peneraju industri kecil dan sederhana (IKS) dalam bidang kraf tangan di kawasan pedalaman terbukti dengan pembinaan Pusat Kraftangan Sabah (PKS).

Pembinaan kompleks PKS yang menelan kos RM30 juta itu dilihat bertepatan kerana Sabah merupakan antara pengeluar utama pelbagai barangan kraf tangan yang unik dan cantik.

Inisiatif pembinaan PKS merupakan komitmen berterusan Kumpulan Yayasan Sabah untuk melihat penduduk di luar bandar mencapai satu taraf pendapatan yang membanggakan sekali gus keluar daripada belenggu kemiskinan.

PKS bukan sahaja bertindak sebagai pusat pengumpulan barangan kraf tangan, malah ia juga menyediakan latihan dan kursus kepada orang ramai yang ingin menceburi bidang tersebut.

Menjayakan lagi program tersebut, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta bagi melestarikan industri kraf tangan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membudayakan kreativiti dan inovasi, industri kraf tangan merupakan peluang terbaik kepada Sabah untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, negeri itu yang kaya dengan hasil budaya seharusnya memanfaat kelebihan pembinaan pusat kraf tangan itu dengan sebaiknya.

Katanya, selain menjadi pusat latihan dan pemasaran hasil kraf tangan, PKS juga bakal menjadi daya tarikan baru pelancongan di kawasan pedalaman selain keindahan alam semulajadi dan kekayaan tradisi.

Menurutnya, PKS akan menjana peningkatan sosioekonomi rakyat dengan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

"Ingin saya tekanan bahawa pusat kraf tangan yang dibina di Keningau ini bukan sahaja untuk kemudahan rakyat di kawasan pedalaman, tetapi akan memberi manfaat besar kepada industri kraf tangan negara.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, pembinaan pusat kraf tangan ini juga merupakan bukti komitmen dan iltizam Barisan Nasional membela nasib rakyat," katanya pada majlis perasmian pusat itu oleh Perdana Menteri Razak baru-baru ini.

Musa berkata, menjadikan industri kraf tangan sebagai punca pendapatan, penubuhan PKS bakal memberi impak besar dan limpahan kepada pembangunan ekonomi di Keningau dan kawasan sekitarnya.

Katanya, ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada pembangunan industri kraf tangan tempatan, ia juga bakal melonjakkan Sabah sebagai destinasi pelancongan terkemuka di negara ini.

Dibina bagi menjadi pusat pembangunan kraf tangan warisan etnik negeri Sabah, PKS juga bakal berfungsi sebagai pusat pengumpulan, latihan, pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan industri kraf tangan negara.

Bekerjasama dengan agensi lain ke arah pembangunan dan promosi kraf tangan di dalam dan luar negara, ia juga menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan konsep Satu Daerah Satu Industri.

Dalam tempoh terdekat, PKS berperanan sebagai pusat latihan dalam pembangunan sumber manusia yang terlatih dan profesional ke arah peningkatan kualiti kraf tangan.

Tiga aspek yang diberi penekanan adalah Pengurusan Kraftangan dan Kepimpinan Keusahawanan, Reka Bentuk Kraf dan Aplikasi Mesin dan Pembangunan Kesenian.

Di bawah program Kepimpinan Usahawan, latihan kemahiran bagi pengusaha kraf tangan akan dipertingkatkan untuk mencapai taraf Adiguru Kraf dan seterusnya berperanan sebagai jurulatih kraf kepada para pelatih dalam bengkel, seminar dan ceramah.

Sementara itu, program Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) melibatkan dokumentasi dan penyelidikan tentang sumber-sumber semulajadi dan bukan semulajadi yang digunakan dalam penghasilan produk kraf tangan akan diperhebatkan.

Aktiviti P&P menjurus kepada usaha menambah baik hasil kraf tangan yang meliputi aspek kualiti, reka bentuk kontemporari, ketahanan, motif dan corak serta pemasaran produk.

Bagi melengkapkan lagi fungsi PKS, ia juga akan dijadikan sebagai pusat untuk acara kebudayaan, hari promosi kraf tangan, demonstrasi pembuatan kraf, ekspo, pameran perdagangan dan pementasan.

No comments: