Wednesday, February 8, 2012

BTS bantu PKS miliki laman sesawang sendiri

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_05.htm

Published: 8 February 2012

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Potensi besar perniagaan dalam talian serta pemasaran Internet telah menjadi pendorong kepada BTS Online Resources (BTS Online) memulakan perniagaan bagi membantu mereka yang berminat.

Pengarah Urusannya, Muhamad Fayadh Abdul Rahman berkata, pendedahan terhadap Internet yang semakin luas serta kepentingannya kepada perniagaan pada masa ini membuatkan mereka ingin membantu syarikat terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai laman web sendiri.
''BTS Online merupakan syarikat pemasaran internet dengan perkhidmatan penuh menawarkan penyelesaian sesawang seperti pembangunan, reka bentuk dan 'hosting' sesawang untuk perniagaan di seluruh dunia.

''Pada masa yang sama, kami juga menawarkan latihan kepada mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan internet dengan menawarkan pakej-pakej menarik sehingga peserta mahir serta mampu memanipulasi manfaat Internet,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Muhamad Fayadh berkata, BTS Online komited membantu perniagaan dan pelanggan mereka memahami serta melaksana teknik yang memaksimumkan potensi laman web mereka.

''Dalam suasana perniagaan yang mencabar, mempunyai laman web sahaja tidak mencukupi untuk berjaya dalam perniagaan dalam talian dan berada di tempat tertinggi enjin pencarian memerlukan teknik yang betul.
''Sebagai tambahan, perkhidmatan enjin carian optimum akan memberikan perbezaan kepada perniagaan kerana bakal memastikan penarafan carian mereka adalah lebih tinggi berbanding pesaing bagi menarik lebih ramai pelanggan ke laman web mereka,'' jelasnya.
Kata anak muda pemegang Diploma Pengajian Perniagaan itu, hasrat utama syarikat mereka adalah memindahkan keperluan pemasaran internet kepada BTS Online, manakala aktiviti e-dagang yang menjana pendapatan diserahkan kepada pelanggan.

''Kami mempunyai pasukan kreatif dan pembangun laman sesawang yang mempunyai pengetahuan dalam teknologi terkini yang dapat meringankan beban pelanggan,'' katanya.
Muhamad Fayadh berkata, sebelum membuka syarikat BTS Online, beliau telah lama menjalankan perkhidmatan memberi latihan dan membantu membangunkan laman sesawang secara kecil-kecilan sejak 2008.
Katanya, melalui latihan disediakan oleh syarikat, pada tahun hadapan mereka menyasarkan dapat melahirkan usahawan internet serta mereka yang mengetahui teori serta praktikal mengenai pemasaran internet.

''Pada tahun hadapan kami akan meningkatkan promosi dan turun ke padang bertemu dengan pelanggan yang berpotensi serta menyertai pameran bergerak.
''Selain itu, program latihan kami juga bersesuaian kepada pelajar institusi pengajian tinggi serta sesiapa sahaja yang berminat untuk menambah pendapatan melalui internet serta pemasaran,'' tambahnya.
Maklumat lanjut mengenai kelas tersebut boleh layari www.jombts.com.

No comments: