Tuesday, February 14, 2012

SME Corp tingkat dana usahawan wanita

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SMECorptingkatdanausahawanwanita/Article/index_html

Published: 14 February 2012

SME Corp Malaysia (SME Corp) bakal meningkatkan peruntukan Skim Bantuan Khas Untuk Usahawan Wanita kepada 20 peratus berbanding 10 peratus ketika ini dalam usaha memperkukuhkan pembangunan usahawan wanita di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafshah Hashim berkata, ia adalah peruntukan menerusi Dana Pembangunan Infrastruktur kepada agensinya setiap tahun membantu usahawan wanita.

“Sejak kebelakangan ini, permintaan daripada usahawan wanita di luar jangkaan malah mereka serius dan nekad menceburkan diri dalam perniagaan. Susulan pertambahan permintaan mereka, SME Corp di bawah skim ini akan meningkatkan peruntukan sekali ganda kepada 20 peratus tahun ini.
“Bagaimanapun, kami melihat wujud keperluan untuk meningkatkan peruntukan ini kerana alirannya meningkat secara ketara melebihi 10 peratus dalam jumlah dana yang diluluskan kepada usahawan wanita,” katanya pada Majlis Minum Petang Usahawan Wanita 2012 bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi SME Corp, Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Pengerusi Panel Usahawan Wanita di bawah SME Corp, Shamsimar Yusof.

Hafshah berkata, sehingga akhir tahun lalu, SME Corp meluluskan 3,440 permohonan bernilai RM179.07 juta daripada syarikat yang dimiliki wanita di bawah skim bantuan khas itu, dengan kadar kelulusan sekitar 81 peratus.

SME Corp mula membuat peruntukan khusus untuk usahawan wanita pada 1997 dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang perniagaan sekali gus memberi akses pembiayaan lebih luas.

Sementara itu, Mukhriz menyarankan usahawan wanita memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa supaya menyertai Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

No comments: