Wednesday, February 8, 2012

Peruncit minyak jana RM30 bilion

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PeruncitminyakjanaRM30bilion/Article/index_html

Published: 2 February 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

Datuk Hashim Othman
Datuk Hashim Othman 
 
PENINGKATAN pengusaha stesen minyak pada masa akan datang banyak bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, pembabitan usahawan Bumiputera dalam peruncitan bahan petroleum semakin meningkat, malah sudah ramai yang berjaya seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.

“Walaupun sebelum ini tidak ramai usahawan Bumiputera yang terbabit dalam sektor ini, tetapi ia semakin meningkat dan paling penting dapat membantu memberi sumbangan kepada ekonomi negara.
“Sehingga kini terdapat lebih kurang 3,200 pengusaha stesen minyak di seluruh negara dan kami menjangkakan ia akan bertambah berikutan semakin banyak pembangunan yang dijalankan sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, sekarang juga lebih kurang 70 peratus daripada pengusaha stesen minyak adalah usahawan Bumiputera dan paling penting persaingan antara pengusaha hanyalah dari segi servis dan perkhidmatan yang dapat membantu pengusaha untuk kekal lama dalam bidang ini.

Hashim berkata, sektor itu juga adalah antara lapangan yang sentiasa mendapat permintaan daripada orang ramai dan perniagaan juga terpaksa dibuka 24 jam setiap hari bagi memenuhi keperluan pengguna. terutama di musim perayaan atau cuti umum di mana orang ramai akan mengisi petrol secara penuh.

“Kami menjangkakan ia akan meningkat pada tahun ini selain penambahan bilangan stesen minyak di seluruh negara,” katanya.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh meletakkan sasaran berapa banyak peningkatan jualan dan bilangan stesen minyak pada tahun ini kerana ia berkait rapat dengan keadaan ekonomi negara kerana jika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat ia menjadikan semua industri bergerak pesat dan rata-rata bergantung kepada minyak bagi merancakkan industri di negara ini,” katanya.
Selain itu, beliau berpendapat bahawa perkara yang paling penting adalah pengawalan harga minyak oleh kerajaan kerana jika ia terlalu mahal bimbang akan membantutkan aktiviti hiliran, manakala jika terlalu murah pula akan menyebabkan timbul kes penjualan minyak secara haram dan untuk itu harga perlu seimbang.

“Kami mahu pemain industri ini terus berkembang dan jika dilihat menerusi 3,200 pengusaha stesen minyak di seluruh negara pada masa ini dianggarkan menyumbang RM30.6 bilion jumlah jualan dan memberi pekerjaan kepada lebih 50,000 orang dengan pelaburan pengusaha melebihi RM1.5 bilion,” katanya.

No comments: