Monday, February 20, 2012

Peluang cuba sektor francais

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peluangcubasektorfrancais/Article/index_html

Published: on 20 February 2012 - 05:39am

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) antara lain memainkan peranan penting dalam memacu hala tuju sektor perniagaan berasaskan francais yang mendorong untuk berkembang dan mampu dibawa ke peringkat lebih jauh setaraf jenama francais antarabangsa.
Sektor francais negara dilihat semakin berkembang apabila direkodkan mengalami pertumbuhan sehingga 20 peratus pendaftaran setiap tahun. Prestasi itu satu reaksi positif untuk meningkatkan ekonomi negara.
Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Hafiz Ithnin bersama Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang melancarkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional bagi meningkatkan prestasi sektor berkenaan.



APAKAH rasional di sebalik pembentukan pelan induk berkenaan?

Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional dibentuk kementerian sebagai satu landasan menjana industri tempatan supaya lebih dinamik dan progresif selain menjadi satu kerangka strategi komprehensif dengan empat teras utama iaitu meningkatkan daya saing industri francais Malaysia, transformasi perniagaan melalui francais, membangunkan kecekapan modal insan francais dan mengukuhkan ekosistem lebih dinamik.

Empat teras utama ini disokong 36 strategi, 140 program dan inisiatif yang memerlukan usaha sama pelbagai pihak dalam perniagaan. Kerajaan selaku pihak penyedia landasan memberikan kemudahan melalui latihan dan bimbingan secara bersepadu serta mewujudkan suasana kondusif dan mesra keusahawanan.


Apakah inisiatif yang terdapat di dalam pelan induk ini?

Kini, dengan penyusunan semula inisiatif dan tambah nilai di bawah Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional, golongan seperti belia, wanita, ibu tunggal, orang kelainan upaya, pesara kerajaan dan swasta, masyarakat bandar dan luar bandar, Orang Ali serta golongan usahawan bukan francais menikmati faedah untuk memulakan perniagaan francais. Inisiatif dilaksanakan sebelum ini diselaraskan di bawah pelan berkenaan.

Justeru, peluang dan potensi daripada inisiatif ini seharusnya direbut semua lapisan masyarakat kerana ia pasti memberikan pulangan baik.


Apakah sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada industri francais selepas pelan ini dilaksanakan?

Di bawah pelan induk ini, Kementerian menyasarkan peningkatan KDNK industri francais daripada 2.2 peratus pada 2010 kepada 4.3 peratus pada 2016 dan seterusnya 9.4 peratus pada 2020 apabila Malaysia dijangka menjadi francais hab serantau.

Bagaimana dengan prestasi sektor francais negara ketika ini?

Bilangan perniagaan yang berdaftar meningkat 20 peratus setiap tahun daripada hanya 396 syarikat francais didaftarkan bagi sepanjang tempoh 10 tahun iaitu antara 2000 hingga 2009.

Kini, sejumlah 587 jenama francais didaftarkan bagi dua tahun kebelakangan ini. Daripada jumlah itu, 404 atau 69 peratus daripadanya adalah jenama francais tempatan. Selain itu, 37 syarikat francais tempatan daripada pelbagai sektor berjaya mengembangkan jenama tempatan kepada 50 negara asing.


Apakah harapan kerajaan bagi usahawan tempatan selepas pelan ini dibentuk?

Walau apapun bentuk bantuan dan kemudahan diberikan untuk memajukan industri francais negara, hasrat serta usaha kerajaan ini hanya membuahkan hasil sekiranya mendapat sokongan padu semua pihak sama ada kerajaan mahupun masyarakat.

Saya berharap pelan ini menggalakkan lebih ramai rakyat berkecimpung dengan dunia perniagaan francais melalui pendedahan maklumat diberikan program yang akan dilaksanakan.

Jadikan perniagaan francais ini peluang keemasan kepada masyarakat tempatan untuk menjana pendapatan tambahan demi meningkatkan lagi taraf hidup rakyat di negara kita.

No comments: