Wednesday, February 13, 2013

Kapal terbang mainan kawalan jauh jana pendapatan

PASIR PUTEH 12 Feb. - Pada peringkat awal, usaha dan minat mereka cipta kapal terbang kawalan jauh bagi Azlan Azhar, 42, hanyalah sekadar hobi untuk memenuhi masa lapangnya. Namun, apabila mendapati semakin ramai yang menggemarinya, usaha tersebut dikembangkan dengan mencipta pelbagai reka bentuk badan pesawat yang turut dilengkapi dengan enjin.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130213/wt_03/Kapal-terbang-mainan-kawalan-jauh-jana-pendapatan
Published: February 13, 2013

Azlan berkata, pesawat dibentuk menggunakan polisterin berkualiti dan ia lebih murah berbanding perbelanjaan membeli pesawat kawalan jauh yang terdapat di pasaran.

"Peminat tidak perlu risau sekiranya kerosakan berlaku akibat pesawat terhempas kerana ia boleh dibaiki dengan kos yang paling rendah," katanya ketika ditemui di bengkel pembuatan pesawat mainan kawalan jauh miliknya di sini hari ini.

Menurut Azlan, kawasan padang di Gong Kulim sering menjadi pilihan peminat pesawat buatan sendiri berkumpul dan mencuba keupayaan pesawat masing-masing setiap petang.

"Mereka akan berkumpul di kedai makan isteri saya pada waktu malam di pusat bandar ini sekiranya ingin mendapatkan khidmat nasihat dan teknik tertentu mengendalikan pesawat.

"Kalau dulu tidak ramai yang berminat dengan permainan ini kerana harga pesawat terlalu mahal, namun kini boleh direka sendiri dengan kreativiti tersendiri," katanya.

Menurut Azlan, semua hasil ciptaan kapal terbang, helikopter dan jet mainan perlu merujuk kepada reka bentuk asalnya termasuk memastikan ukuran keseimbangan supaya mampu terbang apabila dimainkan.

Ujarnya, bengkel untuk menghasilkan kapal terbang mainan yang dibina di tepi kedai makan isterinya itu turut menjadi tempat dia mengajar dua anaknya, Ahmad Azrul Azlan, 15, dan Ahmad Aizat, 13, mendalami kemahiran tersebut.

Menurutnya, kos paling rendah sebuah pesawat mainan adalah RM800 termasuk kelengkapan radio stimulasi, bateri dan peralatan elektronik.

"Paling tidak hobi ini menjana sedikit pendapatan tambahan hasil kreativiti sendiri.

"Nilai tinggi sesebuah pesawat dihasilkan bukan perkara utama untuk dicajkan kepada pelanggan kerana yang penting memupuk minat dan menambah bilangan peminat permainan kapal terbang kawalan jauh ciptaan sendiri," katanya.

No comments: