Tuesday, February 12, 2013

Bantuan Pinjaman Tekun Beri Kesan Berganda Kepada Pertumbuhan Ekonomi Negara, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama)-- Jumlah pembiayaan pinjaman oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) bernilai lebih RM2.4 bilion kepada sekitar 250,000 usahawan setakat ini mampu memberi kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi negara serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=927239
Published: February 12, 2013

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata selain membantu para usahawan memulakan perniagaan, Tekun Nasional juga adalah inisiatif kerajaan mengelakkan para peniaga memilih untuk meminjam kepada "along" atau ceti haram.

"Angka ini juga termasuk pembiayaan kepada hampir 5,000 peniaga India yang bernilai RM41.95 juta di bawah program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India yang diperkenalkan pada 2008," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Usahawan Tekun dan Ekspo Keusahawanan Tekun Nasional 2013 di sini hari ini.

Selain Tekun, Najib berkata sebanyak 82 dana dan tabung berjumlah RM60.82 bilion telah diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu usawahan PKS di negara ini.

"Dengan akses kredit yang banyak, industri PKS mampu berkembang dan kadar pertumbuhan negara turut bertambah," kata beliau.

Kemantapan sistem akses kredit negara juga kata Najib diakui sendiri oleh Laporan Menjalankan Perniagaan 2011-2012 oleh Bank Dunia yang mencatatkan Malaysia sebagai negara nombor satu paling mudah untuk peniaga mendapatkan pembiayaan perniagaan dalam satu kajian yang melibatkan 183 negara.

"Kedudukan ini bukan untuk satu tahun tetapi untuk lima tahun berturut-turut," kata beliau.

Perdana Menteri berkata pada masa ini sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah sebanyak 32.5 peratus dan negara mensasarkan ianya akan meningkat kepada 41 peratus pada 2020.

"Kita mensasarkan agar PKS akan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara dan terus berkembang untuk memberi sumbangan lebih besar kepada negara," kata beliau.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata Tekun Nasional akan terus membantu usahawan PKS memasarkan produk mereka hingga ke peringkat antarabangsa.

"Tekun Nasional bersama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan bukan sahaja membantu dari segi pembungkusan dan pelabelan tetapi juga dari segi pemasaran untuk dalam dan luar negara," kata beliau kepada pemberita.

Mengenai pembayaran balik pinjaman, Noh Omar berkata Tekun Nasional kini memberi beberapa insentif kepada para peminjam untuk mengalakkan mereka membuat pembayaran balik melalui tawaran diskaun 10 peratus kepada peniaga yang membayar balik tepat pada masanya.

"Kami juga memberi akses kredit yang lebih mudah untuk pinjaman kali kedua dengan jumlah sekali ganda daripada pinjaman yang pertama jika mereka mempunyai rekod pembayaran balik yang baik," kata beliau.

Tambah beliau lagi, kakitangan Tekun yang berjaya mengutip bayaran balik pinjaman berjumlah RM1 juta setahun juga akan menerima ganjaran sebuah motosikal.

Buat masa ini, Tekun Nasional mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar lebih kurang 15 peratus, kata Noh Omar.

--BERNAMA 

No comments: