Tuesday, February 5, 2013

Tarik bumiputera jadi usahawan

MELAKA 4 Feb. - Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) negeri memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan jati diri dalam kalangan usahawan bumiputera di samping menarik lebih ramai penyertaan dalam bidang keusahawanan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130205/ws_03/Tarik-bumiputera-jadi-usahawan
Published: February 05, 2013


Abdul Ghafaar Atan (duduk dua dari kiri) bersama para peserta 
yang menghadiri Seminar Jati Diri Pemantapan Usahawan Industri 
Kecil dan Sederhana di Melaka semalam.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, peningkatan bilangan usahawan yang menceburi bidang perniagaan itu sekali gus menyahut saranan kerajaan mencapai sasaran 30 peratus meningkatkan ekonomi orang Melayu di negara ini.

Menurutnya, Gabem sebagai badan yang berusaha membantu memperkasakan ekonomi bumiputera bertindak memberi motivasi kepada golongan usahawan bagi memantapkan organisasi.

"Kita tidak meletakkan sebarang sasaran menarik seberapa ramai usahawan, namun pelbagai program dianjurkan Gabem ini bertujuan memberi pendedahan kepada mereka meningkatkan jati diri serta produktiviti dalam perniagaan diusahakan.

"Inisiatif Gabem adalah memberi penekanan kepada anjakan paradigma, penghijrahan minda dan perubahan sikap dalam kalangan usahawan dengan penerapan budaya keusahawan supaya mereka dapat menjana ekonomi untuk lebih maju, berprestasi tinggi dan berdaya saing," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Jati Diri Pemantapan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Melaka Halal Hub (MHH), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan MHH, Datin Noorsabrina Mohd. Noor dan Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Azhar Yaacob.

Ghafaar berkata, kursus itu dilihat dapat meningkatkan inspirasi pengurusan dalam melahirkan sikap yang positif dalam kalangan usahawan.

"Program ini secara tidak langsung memberi ruang kepada mereka berkongsi idea dan pengalaman bagi mengembangkan perniagaan di samping membina dan memperkukuhkan kekuatan dalam diri usahawan untuk mengharungi persaingan dalam bidang tersebut," katanya.

No comments: