Wednesday, January 25, 2012

Mara Terengganu salur RM31 juta

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MaraTerengganusalurRM31juta/Article/index_html

Published: 25 January 2012

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) Terengganu mengeluarkan pinjaman pembiayaan hampir RM31 juta kepada 360 usahawan dan peniaga di negeri itu dari Januari hingga November tahun lalu.
Pengarah Mara Negeri, Abdullah Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM21 juta disalurkan kepada 225 orang melalui Skim Pembiayaan Islamik Kontrak Ekspres (SPiKE) manakala RM9.892 juta kepada 135 peniaga biasa.

“Kita beri pembiayaan bergantung kepada perniagaan mereka, tetapi tidak melebihi RM500,000,” katanya semasa merasmikan kedai serbanika ‘My Convenience Shop’ di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan My Convenience Shop, Abdul Karim Mohamad dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu, Dr Ahmad Ramli Mahmood.

Bagi pembayaran balik pinjaman pula, Abdullah berkata, Mara berjaya memungut RM15.413 juta sehingga November lalu dengan sasaran pungutan bayaran balik RM17.8 juta.

“Bayaran balik peminjam Mara di Terengganu tidaklah begitu teruk. Dari segi bayaran balik, kita adalah antara lima negeri terbaik.

“Kita yakin sehingga akhir Disember ini, pungutan bayaran balik dari peminjam akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui pada majlis itu berkata, MyConvenience Shop di lapangan terbang itu adalah cawangan ketiga kedainya dan cawangan keempat akan dibuka bulan depan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
“Saya sangat berterima kasih kepada Mara kerana memberi sokongan dan bantuan modal bagi meluaskan perniagaan saya,” katanya. - Bernama

No comments: