Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: 26 January 2012
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes.utusan@gmail.com
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Syarikat-syarikat
milik kerajaan yang bergiat dalam sektor hartanah dan unit amanah
hartanah wajar membeli kediaman kuota Bumiputera untuk mengelak aset
berkenaan 'bertukar tangan'.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina,
Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md.
Ariffin berkata, pendekatan itu dilihat sebagai cara terbaik dan lebih
praktikal dalam usaha menyelamat hartanah yang diperuntukan kepada
Bumiputera.
Beliau berkata, masalah kediaman tidak terjual itu disebabkan pembeli Bumiputera berminat tetapi masih belum membelinya.
Justeru, katanya, sekiranya kediaman-kediaman berkenaan dibeli oleh
GLC , sekurang-kurangnya hak yang diperuntukan kepada Bumiputera
terjamin.
''Siapa kata Bumiputera tidak berminat untuk memiliki kediaman,
banyak yang masih mencari-cari dengan tumpuan terhad kepada kediaman
berkos rendah dan sederhana. Jumlah Bumiputera yang mampu memberi rumah
sederhana mewah dan mewah begitu kecil.
''Oleh itu, saya syorkan Permodalan Hartanah Bhd., Permodalan
Nasional Bhd., Majlis Amanah Rakyat, AmanahRaya Bhd. atau Lembaga Tabung
Haji mengambil alih hartanah-hartanah tersebut.
''Kalau Bumiputera secara individu tidak mampu, saya yakin
agensi-agensi ini berupaya kerana mereka memiliki dana yang besar,''
katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Persatuan Pemaju
Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) supaya status hartanah lot
Bumiputera ditukar secara automatik kepada bukan Bumiputera jika gagal
dijual dalam tempoh masa tertentu.
Cadangan itu dibuat bagi mengatasi kerugian yang didakwa terpaksa
ditanggung oleh pemaju ekoran gagal menjual hartanah berkenaan, selain
perlu melunaskan kos tertentu untuk mengubahnya ber dasarkan
undang-undang semasa.
Presidennya, Datuk Seri Michael K C Yam berkata, kaji selidik yang
dilakukan REHDA mendapati masalah kegagalan menjual hartanah lot
Bumiputera merupakan punca paling utama kerugian ditanggung oleh pemaju
untuk empat tahun berturut-turut.
Mengulas mengenai tersebut, Shahrom mengakui REHDA tidak boleh dipersalahkan berhubung cadangan yang dilontarkan.
Ini kerana isu berkenaan adalah perkara lapuk yang dibincangkan
hampir setiap tahun oleh para pemaju tetapi ia tidak dilihat secara
serius oleh mana-mana pihak.
Akibatnya, kata beliau, isu itu bersifat bermusim tanpa tidak diketahui bilakah jalan penyelesaiannya mampu dilaksanakan.
Bagaimanapun, tegas beliau, jalan penyelesaian perlu dilihat secara
teliti oleh kerajaan untuk mengelakkan para pemaju hartanah tempatan
rugi dan pada waktu yang sama pertahankan hak Bumiputera.
Shahrom menambah, cadangan menukar hak milik hartanah yang
diperuntukan itu tidak wajar dipertimbangkan kerana dikhuatiri
keistimewaan itu akan hilang secara perlahan-lahan.
''Mekanisme yang betul perlu dibincang, diteliti dan dilaksanakan.
Tetapi saya berpendapat kuota kediaman Bumiputera boleh diselamatkan
oleh agensi-agensi terbabit,'' katanya.
Beliau berkata, di sebalik tumpuan agensi-agensi berkaitan kepada
hartanah komersial, mereka boleh menambah hartanah kediaman sebagai
portfolio baharu terutama di kawasan-kawasan utama yang berpotensi besar
dan berdaya saing.
''Contohnya di kawasan Mont Kiara dan tengah-tengah kawasan segi tiga
emas Kuala Lumpur kerana kediaman di kawasan ini tidak akan jatuh dan
baik untuk pelaburan jangka panjang.
''Dengan pembelian kediaman, entiti-entiti terbabit bukan sahaja
membantu menangani masalah pemaju, pada masa sama GLC mampu mempertahan
dan menyelamatkan hak milik Bumiputera.
''Mungkin kediaman yang mahal itu tidak mampu dimiliki Bumiputera
pada masa sekarang, tetapi mungkin boleh dijual pada tahun-tahun
mendatang. Siapa tahu ketika itu banyak Bumiputera yang mampu,''
katanya.
No comments:
Post a Comment