Friday, January 13, 2012

Jayonik labur RM2j

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JayoniklaburRM2j/Article/index_html

Published: 13 January 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

JAYONIK MSC Sdn Bhd, syarikat Bumiputera pertama seumpamanya di negara ini memperkenalkan simulasi pemanduan kelas memandu akan terus melebarkan sayapnya ke seluruh negara termasuk peringkat antarabangsa apabila menerima permintaan dari Brunei, Turki dan Afrika Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Ainul Azlan Jamaludin berkata, pihaknya pada masa ini sedang menunggu pesanan unit dari Brunei di mana mereka berminat menggunakan pemanduan simulasi di hospital dan jabatan kenderaan darat.

Katanya, Jayonik juga berjaya mencipta simulasi bidang perubatan dan simulasi pemanduan orang kelainan upaya (OKU) yang sudahpun menerima permintaan menggalakkan sejak tahun lalu.
“Jayonik ditubuhkan sejak 2002 dan kami sudah mengeluarkan pelbagai jenis simulasi pemanduan yang mendapat permintaan daripada tentera, polis, hospital dan sekolah memandu.

“Setakat ini kami melaburkan lebih RM2 juta membangunkan pemanduan simulasi daripada peringkat perisian sehingga ke perkakasan, malah pemanduan simulasi OKU banyak membantu mereka menjalani latihan memandu,” katanya.

Menurutnya, produk syarikat adalah 100 peratus buatan tempatan dan dibangunkan sendiri Jayonik.

“Kos unit sedan dijual pada harga bermula antara RM30,000 dan RM90,000 manakala trak pula dari RM60,000 hingga RM120,000 bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Lebih menarik semua perisian dibuat dalam Bahasa Malaysia serta Bahasa Inggeris. Untuk melihat contoh pemanduan simulasi yang sudah dibangunkan boleh melayari www.jayonik.com,” katanya.

No comments: